Kedah Cadang Sumbang Keperluan Asas Penoreh

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah bercadang untuk menyumbangkan bantuan barangan keperluan asas kepada golongan penoreh di negeri ini, yang terjejas ekoran kejatuhan harga getah sekerap di bawah paras RM2 sekilogram (kg) sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmi Kemiskinan dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, secara dasarnya persetujuan mengenai perkara itu sudah dicapai namun mekanisme pemberian bantuan itu masih belum ditentukan sama ada secara ‘one-off’ atau bulanan.

“Dalam mesyuarat Exco semalam kita bincang isu ini dan kerajaan negeri akan beri insentif dalam bentuk barangan makanan untuk ringankan beban penoreh kerana ia juga melibatkan soal kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata data serta maklumat penoreh yang layak akan diperolehi menerusi pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dis ini.

Katanya sejak Ogos lepas, harga getah sekerap menunjukkan trend penurunan daripada RM2 kepada RM1.80 sekilogram dan keadaan itu sangat membebankan penoreh yang bergantung sepenuhnya kepada komoditi itu.

Sementara itu Halimaton Shaadiah memberitahu seramai 779 warga emas berusia lebih 60 tahun di Kedah telah mendapat manfaat daripada Program Khidmat Bantu di Rumah dalam usaha memastikan warga emas tidak tercicir daripada bantuan kerajaan.

Katanya program yang digerakkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) itu berkonsepkan sokongan sosial dalam komuniti bertujuan untuk memenuhi keperluan warga emas.

“Seramai 226 petugas turun seminggu sekali untuk menjenguk warga emas untuk membantu antaranya menguruskan diri mereka, memberi bantuan makanan dan melakukan gotong royong membersihkan kawasan rumah dan bantu mereka berurusan dengan pelbagai agensi,” – BERNAMA

Loading...