Kerajaan Kaji Mekanisme Terbaik Pembiayaan Parti Politik

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan masih mengkaji mekanisme terbaik berhubung pembiayaan parti-parti politik di negara ini.

Menurut beliau, kerajaan ingin memastikan tidak berlaku kegiatan rasuah dalam pengurusan parti kerana rasuah terbesar berlaku adalah dalam kalangan parti politik.

Parti politik perlu ada kewangan yang sepatutnya namun mesyuarat hari ini tidak dapat memutuskan bagaimana parti politik dapat dibiayai untuk membolehkannya berfungsi tanpa bantuan mana-mana pihak.

Menurut beliau, beberapa cadangan sedang diperhalusi termasuk formula yang digunakan di Jerman yang menyediakan peruntukan khas kepada parti politik di negara itu.

“Ada cadangan supaya kita ikuti amalan negara Jerman iaitu kerajaan beri peruntukan kepada parti politik supaya parti politik tak perlu dapat derma daripada orang ramai.

“Tapi kena lihat juga takut nanti masing-masing nak tubuh parti supaya dapat wang (dana dari kerajaan),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kajian teliti perlu dilakukan bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam pembiayaan parti politik.

“Ini seperti yang berlaku apabila ada sebuah syarikat nak derma RM100 juta kepada Tabung Harapan.

“Mereka cuba derma tapi kita tak terima, jelas nak beri tu ada hajat lain, sebab itu kita tak terima kalau RM100 juta didermakan kepada parti, itu lebih teruk, jadi macam mana nak elak perkara ini daripada berlaku,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga menyambut baik cadangan daripada orang ramai dalam mencari penyelesaian bagi perkara itu. – BERNAMA