Kerajaan Jangan Gopoh Mansuh Aliran Sains, Sastera Di Sekolah

KAJANG – Kerajaan dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa melaksanakan pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar tingkatan empat mulai tahun depan.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Raduan Che Rose berkata, langkah itu dikhuatiri memberi implikasi terhadap kursus di peringkat universiti, selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Ketika ini kita (universiti) berada dalam keadaan yang serius untuk mendapatkan pelajar daripada aliran sains. Sains terdiri daripada fizik, kimia, biologi, matematik dan matematik tambahan.

“Jika semuanya dah tiada dan bercampur-campur, bagaimanakah kita akan meletakkan pelajar menyertai kursus berasaskan sains?

“Kami akan memanggil universiti dan profesor untuk mendapatkan maklum balas mereka,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat bersama 50 ilmuwan di ibu pejabat MPN, di sini hari ini.

Awal minggu lepas, media melaporkan mulai dari tahun depan pelajar tingkatan empat tidak lagi dibahagikan atau dibezakan mengikut aliran sastera dan sains, sebaliknya mereka akan dibenarkan memilih subjek mengikut minat mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, perbezaan antara dua aliran itu tidak lagi wujud selari dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Loading...