Kerajaan Jangan Campur Tangan Dalam Pasaran Hartanah

KUALA LUMPUR – Seorang pakar ekonomi terkenal menggesa kerajaan supaya membiarkan pasaran bertindak balas sendiri dan tidak campur tangan dalam isu hartanah tidak terjual dengan menurunkan nilai ambang harga untuk warga asing membelinya.

Bercakap kepada pemberita pada satu forum di Universiti Malaya semalam, Muhammed Abdul Khaled akur tentang keperluan mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual di negara ini tetapi berkata, ia berpunca daripada ketidakselarasan antara permintaan dan penawaran.

Beliau berkata, pemaju membina terlalu banyak rumah mewah, dengan menambah bahawa penurunan nilai ambang harga dari RM1 juta ke RM600,000 hanya akan melupuskan rumah mewah tidak terjual untuk “golongan berada”.

Apabila ditanya, beliau berkata, “ia terasa, kelihatan dan berbunyi” seperti langkah untuk menyelamatkan pemaju.

“Lebih baik biarkan pasaran membuat penyesuaian sendiri. Ini bermakna pemaju harus bertindak rasional dengan menurunkan harga bagi menjadikan (hartanah tidak terjual) mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

“Jika anda tidak boleh jual pada harga semasa, maka langkah rasional yang harus diambil ialah mengurangkan harga,” katanya.

Khalid, yang merupakan penasihat ekonomi Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan hanya perlu campur tangan dalam pasaran hartanah bagi membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan, Soam Heng Choon baru-baru ini mempertahankan keputusan kerajaan itu dengan berkata, ia akan membantu pemaju melupuskan hartanah tidak terjual dan melabur semula dalam perumahan mampu milik.

Beliau membuat kenyataan itu berikutan kebimbangan yang disuarakan kumpulan pengguna berhubung langkah tersebut kerana khuatir ia akan mengakibatkan peningkatan harga hartanah dan pembinaan rumah untuk warga asing, bukan untuk rakyat tempatan.

Hartanah yang termasuk dalam langkah menurunkan nilai ambang harga itu terhad kepada unit bangunan tinggi di George Town, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan beberapa bandar utama di Selangor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan penurunan nilai ambang harga itu dibuat oleh Kementerian Kewangan, bukan beliau.

Dalam pada itu Khalid berkata, kerajaan kini sedang menggubal garis panduan gaji untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Data kerajaan menunjukkan bahawa kita (syarikat Malaysia) memberi ganjaran lebih rendah kepada kakitangan berbanding negara lain,” katanya.

“Kita hanya memberi ganjaran lebih baik kepada kakitangan tertentu, terutama CEO yang memperoleh beberapa kali ganda berbanding pekerja lain.

“Adalah lebih baik memberi ganjaran kepada kakitangan berpendapatan rendah kerana ia lebih baik kepada ekonomi. Mereka berbelanja, ia memberi manfaat kepada ekonomi, berbanding CEO bergaji mahal yang sama ada akan menyimpan atau membelanjakannya di luar negara,” katanya selepas majlis forum bertajuk “National Budget Dissection”.

Katanya, keupayaan kerajaan mengubah sektor swasta adalah terhad, walaupun ia boleh berbuat lebih banyak berhubung GLC.

Beliau berkata, garis panduan baru itu akan menangani isu tersebut, selain berharap ia akan menjadi teladan untuk sektor swasta juga. – FMT

Loading...