Kerajaan Hormati Keputusan Sultan Muhammad V – Wan Azizah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau melahirkan rasa sedih berhubung keputusan itu memandangkan peristiwa pertukaran kerajaan susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke14, Mei lalu, adalah satu peristiwa bersejarah kepada negara yang berlaku dan disaksikan semasa pemerintahan baginda.

“Baginda juga memberi pengampunan kepada suami saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kami hormati keputusan Seri Paduka,” katanya selepas menghadiri jamuan malam Makmal Kemanusiaan 2.0 anjuran Mercy Malaysia di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) hari ini.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, petang tadi.

Terdahulu, ketika berucap, Dr. Wan Azizah berkata, kerajaan Myanmar perlu bertanggungjawab dan tidak wajar membiarkan urusan menjaga kebajikan pelarian Rohingya dipikul oleh negara lain.

Katanya, masyarakat antarabangsa seharusnya memainkan peranan untuk memberi tekanan kepada Myanmar supaya bertanggungjawab serta memberikan hak-hak sepatutnya kepada pelarian Rohingya.

“Bentuk diplomasi kemanusiaan seperti ini diharapkan dapat diteruskan secara sistematik dan konsisten dalam memberi tekanan kepada pihak-pihak berkaitan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat Rohingya,” katanya. – BERNAMA

Loading...