Kerajaan Gugur Perkataan Mandatori Bagi Hukuman Kes Dadah

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menggugurkan perkataan mandatori bagi hukuman kes yang membabitkan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengguguran perkataan itu sekali gus memberikan hakim untuk membuat pilihan sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara yang tidak boleh kurang dari 10 tahun.

Jelasnya, perkara itu dipersetujui selepas mendapati masalah jenayah penyalahgunaan dadah di negara ini semakin merunsingkan.

“Kita akan mengambil satu pendirian tegas meskipun didesak supaya menggugurkan perkataan mandatori apabila mereka didapati mengguna atau membawa dadah sekian banyak (jumlah tertentu) maka mereka akan dikenakan hukuman mati mandatori iaitu kuasa hakim kita ketepikan. Bahkan, undang-undang juga menidakkan hak hakim untuk menyatakan hukuman yang dikenakan.

“Kita hapuskan perkataan mandatori dan kekalkan bahawa hakim boleh membuat pilihan sama ada mereka akan kenakan hukuman mati atau penjara namun ia tidak boleh kurang dari 10 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Mahathir, perkara itu perlu dipandang serius berikutan ia merupakan kesalahan jenayah yang membabitkan kes dadah.