Kerajaan Cari Jalan Terbaik Selesai Masalah Hutang PLUS

BANGKOK – Kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS Malaysia Berhad (PLUS), kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pilihan terbaik buat masa ini adalah untuk syarikat dana pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), yang merupakan pemegang saham utama dalam PLUS, supaya dapat mengurus untuk menyelesaikan hutang-hutang tersebut.

“Kita nak tengok mana yang terbaik mungkin. Kalau Khazaah urus, boleh selesai hutang, Ok la,” katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbar bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Khazanah yang merupakan syarikat dana pelaburan negara tidak berminat untuk menjual PLUS yang merupakan syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala 49 peratus lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Loading...