Kerajaan BN Tidak Pernah Layan Pelobi ICERD

KUALA LUMPUR – Pelobi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebenarnya sudah lama melobi Malaysia supaya meratifikasikan konvensyen antarabangsa itu.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pelobi ICERD berusaha sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun tidak dipedulikan oleh pimpinan kerajaan ketika itu.

“BN bersikap tidak melayan desakan menandatangani ICERD yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pelobi ICER terbabit.

Sementara itu, Noraini berkata, Wanita UMNO akan menganjurkan Program Wanita dan Isu Semasa (WISE) yang merupakan penerangan tentang ICERD di Menara Dato’ Onn esok.

Menurutnya, ia bukan program politik sebaliknya adalah program ilmiah yang dapat membantu masyarakat memahami isu ICERD dengan lebih jelas dan mendalam.

JEMPUT MUSLIMAT PAS

Kata beliau, program pada pukul 10 pagi hingga 1 tengahari itu terbuka kepada semua ahli Wanita UMNO, Muslimat PAS, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), profesional, pemimpin serta pelajar universiti.

Tambah beliau, program itu akan dikendalikan oleh moderator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan turut menampilkan ahli panel iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

“Masyarakat harus peka dan memahami perkembangan isu ICERD. Apatah lagi isu ini melibatkan usaha kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan ratifikasi treati ICERD,” katanya.

Jelas beliau, pelbagai peruntukan di bawah ICERD bertentangan dengan Persekutuan Persekutuan kerana dipercayai akan menggugat hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera serta institusi Diraja.

“Kesan itu akan mengubah Perlembagaan Persekutuan dan perjanjian kontrak sosial yang termeterai antara pemimpin Melayu, India dan Cina ketika menuntut kemerdekaan pada 1957,” katanya. – MYNEWSHUB.TV

Loading...