Kerajaan Bincang Moratorium Hutang Tanpa Faedah

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi memudahkan pembayaran hutang isi rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan memahami situasi yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Cadangan itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz).

“Insya-Allah, kita akan membantu sebaik-baiknya,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang memberi moratorium tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi membantu pembayaran hutang isi rumah seperti rumah dan kenderaan, berikutan peningkatan hutang isi rumah yang pantas iaitu sebanyak 5.5 peratus ketika pandemik COVID-19.

Pada Ogos lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pengecualian sepenuhnya caj kadar faedah terakru ke atas moratorium bayaran balik pinjaman akan memberi implikasi buruk jangka panjang kepada bank jika dilaksanakan, memandangkan 80 peratus pendapatan bank disumbangkan pendapatan faedah.

Beliau berkata, pinjaman runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak untuk mengambil moratorium automatik berjumlah kira-kira RM1.4 trilion atau mewakili 73 peratus jumlah pinjaman dalam sistem perbankan.

Justeru, Nor Shamsiah berkata, pengecualian caj kadar faedah terakru pinjaman akan memberikan implikasi yang besar kepada bank dan ekonomi dalam jangka panjang, antaranya bank akan menarik balik pinjaman bagi menjamin penampan mereka, penurunan penarafan kredit bank dan tekanan kecairan yang akan menjejaskan keyakinan terhadap bank. – BH Online