Kerajaan Belum Terima Tawaran Menarik Ambil Alih PLUS

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum menerima cadangan yang menarik setakat ini berhubung tawaran pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan sedia untuk menjual PLUS dan setakat ini menerima empat tawaran daripada pihak swasta, namun semuanya tidak menarik.

“Ya (terima empat tawaran), mungkin lebih daripada itu. Memang ada yang buat cadangan (pengambilalihan PLUS), tapi belum dapat satu cadangan yang menarik.

“Biasanya, kerajaan tidak suka terbabit dengan perniagaan. Adalah lebih baik jika swasta terbabit dengan perniagaan.

“Kita harap mereka untung dan kita dapat 24 peratus daripada keuntungan mereka dengan tidak ada sebarang risiko atau pelaburan (daripada kerajaan).

“Tapi kadang-kadang cadangan daripada swasta itu tidak menarik, tidak memberi gambaran yang baik mengenai masa depan PLUS.

“Sebab itu kita sedang mengkaji. Banyak cadangan diterima dan kita akan kaji yang mana terbaik. Sama ada PLUS dimiliki kerajaan atau swasta, kita akan pilih,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan sama ada mahu menjual PLUS atau sebaliknya, berikutan beberapa tawaran diterima untuk mengambilalih syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia itu.

Empat pihak yang sudah mengemukakan tawaran rasmi mengambilalih PLUS adalah RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn. Bhd. dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Mengulas mengenai isu ketidakhadiran Ahli Parlimen kerajaan hingga Dewan Rakyat terpaksa dihentikan seketika Khamis lalu, Dr Mahathir menegaskan semua menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kerajaan sudah diberikan amaran.

Bagaimanapun, beliau tidak melihatnya sebagai isu disiplin kerana perkara itu berlaku pada mana-mana kerajaan, selain isu tidak cukup korum hanya dibangkitkan atas faktor politik.

“Kita sudah bincang perkara ini dalam Kabinet dan dapati kadang-kadang menteri berada di luar negeri kerana perlu hadiri banyak mesyuarat antarabangsa sekarang ini, dan Ahli Parlimen biasa juga ada masalah lain.

“Kadang-kadang mereka tiada dalam Dewan, tapi ada dalam bangunan Parlimen ini, jadi mereka boleh dipanggil dengan menggunakan loceng.

“Ini berlaku pada mana-mana kerajaan. Saya lihat di Kongres Amerika Syarikat, saya dapati orang itu bercakap seorang diri bersama dua orang lagi, tapi mereka tak bangkit soal korum. Korum bangkit kadang-kadang kerana politik,” katanya. – BH Online

Loading...