Kerajaan Belum Putuskan Sekat Rentas Daerah

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memutuskan untuk menyekat kembali pergerakan rentas daerah dan negeri ekoran peningkatan kes dan kluster baharu Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji dan membuat penilaian risiko mengenai perkara itu.

Menurutnya, walaupun rentas negeri dan daerah masih dibenarkan, kerajaan sentiasa mengingatkan rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.

“Rakyat juga boleh secara sukarela menjalani ujian swab sekiranya mereka mahu keluar dari zon merah untuk memastikan bebas Covid-19.

“Begitu juga mereka yang mahu pulang ke zon hijau boleh menjalani ujian swab sebelum pulang,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Sejak beberapa minggu lalu, kes positif Covid-19 masih merekodkan empat angka.

Malah, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia sudah menghampiri kapasiti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital yang diwartakan untuk merawat pesakit pandemik itu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, ketika ini kes aktif mencecah 22,089 manakala kapasiti untuk rawatan pesakit adalah 23,000.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kabinet masih belum membincangkan untuk mengadakan sidang khas Parlimen susulan peningkatan Covid-19.

Katanya, setakat ini Menteri Undang-Undang masih belum membawa perkara itu untuk dibincangkan kepada Kabinet.

“Setakat ini tiada lagi dibentangkan dan jika ada perkara itu akan diminta untuk dimasukkan agenda dalam persidangan Parlimen.

“Walaupun tiada sidang khas Parlimen, saya percaya strategi kesihatan KKM dan bukan kesihatan akan tetap dilaksanakan untuk mengekang Covid-19,” katanya. – myMetro Online