Kerajaan Belum Buat Keputusan Model PDP Pan Borneo

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pelaksanaan model projek itu sedang dinilai dan disemak semula daripada pelbagai aspek terutama melibatkan had keupayaan kewangan kerajaan.

“Ini bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan itu dapat dioptimumkan sebaik mungkin dan dalam masa sama, tidak mengganggu kelancaran pelaksanaan projek terlibat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang mahu tahu status pelan kerajaan untuk menukar PDP kepada ‘turnkey contractor’ untuk projek Pan Borneo.

Baru berkata, penentuan mengenai hala tuju pelaksanaan lebuh raya itu akan diumum sebaik sahaja kerajaan selesai meneliti dan menimbang mekanisme terbaik berhubung penjimatan yang bakal diperoleh daripada projek itu.

Loading...