Kerajaan Bayar Royalti Minyak Selepas Ada Sempadan Negeri

KUALA LUMPUR – Bayaran royalti minyak daripada 10 lapangan pengeluaran minyak tidak akan dibayar kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang selagi kerajaan belum dapat menentukan persempadanan perairan antara ketiga negeri terbabit.

Justeru, kerajaan akan memulakan proses untuk menentukan sempadan perairan negeri berkenaan mengikut peruntukan perundangan sedia ada.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pembayaran secara tunai hanya akan dibuat selepas persempadanan perairan berkenaan dapat dipastikan mengikut peruntukan perundangan negara.

“Ada 10 lapangan pengeluaran yang mula mengeluarkan hasil secara berperingkat mulai 2013 hingga kini.

“Malangnya masih belum wujud persempadanan perairan di antara Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi membolehkan bayaran tunai ditentukan kepada negeri berkenaan memandangkan tidak pernah wujud persempadanan laut di antara negeri di Malaysia,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab celahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang menyifatkan kenyataan terbaru kerajaan itu sebagai mengkhianati rakyat Kelantan daripada menikmati royalti minyak, Mohamed Azmin berkata, kerajaan tidak pernah berniat begitu.

Sebaliknya, katanya, kerajaan cuba mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan pertikaian berkenaan, selain mendakwa apa yang dinikmati rakyat negeri itu kini tidak pernah dinikmati mereka ketika di bawah pentadbiran lama.

“Tidak benar saya dan Perdana Menteri mahu mengkhianati rakyat Kelantan. Kita nak mencari penyelesaian.

“Adalah tidak adil ramai menyerang saya seolah-olah saya pengkhianat, sedangkan kita mahu mencari penyelesaian,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, bayaran tunai daripada Petronas bagi 10 lapangan gas dan minyak bagi tempoh 2013 hingga 2019, berjumlah hampir RM1.2 bilion disalurkan kerajaan kepada akaun terimaan tidak diperuntukkan (ATTD).

Katanya, keputusan berkenaan bukan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebaliknya sudah ditetapkan sedemikian oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu.

Beliau berkata, selagi sempadan lautan antara Kelantan dan Terengganu serta Pahang dan Terengganu belum ditentukan, bayaran tunai sejak Jun 2018 hingga sekarang akan disimpan sebagai ATTD.

“Petronas tidak akan abaikan semangat perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974. Berdasarkan Seksyen 3 (2) Akta Kemajuan Petroleum 1974, Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan sebarang arahan difikirkan berpatutan.

“Dalam konteks ini beliau bersetuju bayaran tunai kepada kerajaan negeri akan dibayar terus oleh Petronas mulai 2020 seperti amalan dilaksanakan Petronas kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan kementerian dengan Petronas juga mendapati dua lapangan gas yang tidak dipertikaikan terletak dalam perairan Malaysia dan berhampiran Kelantan adalah Lapangan Bumi South dan Suria Selatan.

Menurutnya, bayaran tunai yang dibayar Petronas kepada Kementerian Kewangan sejak 2009 hingga Ogos lalu adalah RM387.72 juta, iaitu hasil daripada pengeluaran dua lapangan berkenaan.

“Pembayaran bagi Ogos 2019 berjumlah RM16.79 juta sudah dilunaskan Petronas kepada Kementerian Kewangan.

“Kementerian Kewangan menyalurkan 50 peratus daripada bayaran tunai terus kepada Kerajaan Kelantan, manakala 50 peratus lagi kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan atau MAIK seperti dimeterai pada 2016,” katanya.

Loading...