Kerajaan Ambil Serius Dakwaan Malaysia Transit Pengganas

KUALA LUMPUR – Kerajaan ambil serius terhadap dakwaan mengatakan negara ini merupakan transit pengganas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga akan meneliti perkembangan berkaitan dakwaan itu dari semasa ke semasa.

“Itu satu kenyataan yang berat, kita tak boleh pandang ringan lebih-lebih lagi datang dari Amerika Syarikat yang sahkan. Kita pun ada bukti. Sebab itu saya harap rakyat Malaysia faham keadaan sekarang.

“Macam dulu lain, sekarang ini mungkin orang gunakan Malaysia sebagai ‘staging point’ atau nak kembangkan ideologi mereka dalam negara atas sebab-sebab tertentu atau gunakan agama, macam Daesh, Islamic State IS.

“Itu bukti bahawa memang ada tahap yang agak bahaya. Apa pun, dari segi dasar Imigresen, kita kena teliti dan kaji,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin menegaskan, kerajaan juga akan mengenakan visa ke negara ini atas sebab-sebab tertentu jika ada keperluan.

“Setakat hari ini kalau mana-mana negara nak masuk Malaysia, ada pasport dan ia tak dianggap sebagai datang dari negara bermasalah. Maka mereka boleh masuk secara mudah.

“Tapi kalau perlukan visa atas sebab-sebab tertentu, kita kuatkuasakan visa. Itu peraturan yang kita ada. Yang penting, kita ada kerjasama bukan saja dalam negara, luar negara juga,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa bekerjasama dengan negara luar dan badan-badan antarabangsa dalam usaha membanteras aktiviti keganasan dalam negara.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan pengganas dari Timur Tengah dan Afrika memilih Malaysia kerana mereka boleh masuk negara ini tanpa visa.

Sebelum ini, laporan Country Reports on Terrorsime 2018 menyatakan Malaysia kekal sebagai ‘sumber dan titik transit’ kumpulan pengganas seperti IS, Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

Laporan tersebut turut mengambil maklum tentang usaha Malaysia menentang terrorism melalui pelbagai cara termasuk pemantauan media sosial, kawalan sempadan dan undang-undang bagi menyekat aktiviti pembiayaan terrorisme.

Loading...