Kerajaan Akan Biaya Projek LRT3, Kata Guan Eng

KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijadual siap menjelang 28 Februari 2024, akan menerima sokongan kerajaan dalam bentuk pembiayaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sebahagian besar pembiayaan projek dengan kosnya telah dikurangkan kepada RM16.63 bilion berbanding RM31.65 bilion sebelum ini, akan disalurkan oleh Kementerian Kewangan berikutan kedudukan Prasarana Malaysia Bhd sebagai entiti milik kerajaan.

“Kita akan membiayai projek itu menerusi pinjaman serta jaminan kerajaan. Oleh itu, kontraktor terbabit boleh mendapat jaminan kerajaan dari segi pembayaran apabila mereka menyertai projek berkenaan,” katanya.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian novasi antara Prasarana, MRCB George Kent Sdn. Bhd. (MRCBGK) dan sembilan Kontraktor Pakej Kerja (WPC).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kerangka kewangan berkaitan yang boleh memberi kesan terhadap harga akhir projek tersebut.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain menjelaskan pihaknya akan mendapatkan bantuan kerajaan jika wujud keperluan untuk mendapatkan dana itu.

Malah, kerajaan juga akan memberi nasihat mengenai instrumen kewangan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, kontrak novasi yang ditandatangani hari ini menyaksikan sembilan WPC beralih kepada model Kontrak Harga Tetap daripada skim Rakan Pelaksana Projek yang mana risiko berkaitan projek itu akan ditanggung oleh syarikat-syarikat terbabit.

“Susulan pemeteraian kontrak itu hari ini, kita boleh menjangkakan bahawa projek itu akan berjalan dengan lancar. Projek itu memang sedang dijalankan sekarang namun pada kadar lebih perlahan,” kata Mohamed Hazlan.

Projek LRT3 yang menghubungkan Petaling Jaya dan Klang merangkumi pembinaan 20 stesen manakala lima stesen lain akan dibangunkan pada masa depan.

Selain itu, Lim turut diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan pengumuman mengenai tol lebuh raya.

Lim bagaimanapun enggan mengulas perkara itu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Ini merupakan sebahagian daripada manifesto. Kita mahu kotakan janji, namun biarlah tunggu pengumuman mengenainya,” katanya. – BERNAMA