Keracunan Laksa: KKM Sahkan 19 Kes Baharu

ALOR SETAR – Jumlah kes keracunan makanan (KRM) yang dipercayai berpunca daripada memakan laksa yang dibeli dari sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah, minggu lalu, kini meningkat kepada 80 kes selepas 19 kes baharu direkodkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata sejak dilaporkan pada Rabu lalu, hanya dua kes kematian masih kekal akibat kes keracunan berkenaan.

Daripada jumlah kes baharu, satu kes dilaporkan di Kedah, 15 di Perak dan tiga kes di Selangor, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebanyak sembilan pesakit masih dirawat di hospital dan kesemuanya dilaporkan dalam keadaan stabil,”katanya sambil menambah pecahan 80 kes ialah 31 di Perak (termasuk dua kematian), 25 kes (Kedah) dan 24 kes di Selangor.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan telah dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan sepenuhnya ujian-ujian tersebut dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Sehubungan itu, Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan, selain mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis yang bersih serta mengelakkan makanan yang basi.

“Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat jam selepas penyediaannya.

“Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya. – BERNAMA

Loading...