Keputusan SPM 2018 Lebih Baik

PUTRAJAYA – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89 berbanding 4.90 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, jurang pencapaian antara calon di bandar dan di luar bandar juga mengecil sebanyak 0.04 pada 2018 berbanding tahun 2017.

“Hal ini disebabkan oleh peningkatan pencapaian calon di luar bandar sebanyak 0.04 manakala pencapaian calon di bandar kekal,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Analisis Keputusan SPM Tahun 2018 di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amin berkata, sebanyak 230,465 atau 58.9 peratus calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2018 dengan 8,436 calon mendapat gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran.

Menurutnya, sebanyak 74,360 calon atau 19 peratus memproleh sekurang-kurangnya
gred C untuk semua mata pelajaran manakala 147,669 calon atau 37.7 peratus mendapat sekurang-kurangnya gred E untuk semua mata pelajaran.

“Peratusan calon yang layak dianugerahkan SPM meningkat sebanyak 1.2 peratus iaitu 86.4 peratus berbanding 85.2 pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, 61.2 peratus daripada 1,194 calon berkeperluan khas (CBK) layak dianugerahkan sijil SPM,” katanya. – K! ONLINE

Loading...