Keputusan Rayuan Ke Universiti Awam Diumum Esok

PUTRAJAYA – Keputusan permohonan rayuan UPUOnline untuk kemasukan ke Program Pengajian Asasi dan Diploma ke universiti awam (UA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan esok, kata Kementerian Pendidikan.

Hebahan keputusan itu bermula 12 tengah hari sehingga 11.59 malam 2 Julai melalui saluran di UPUPocket2.0 dan beberapa laman iaitu http://jpt.umt.edu.my; http://jpt.ums.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.utm.my; dan http://jpt.uum.edu.my.

Semakan status permohonan rayuan juga boleh didapati melalui perkhidmatan penghantaran SMS ke 15888 dengan menaip UPU RESULT diikuti nombor kad pengenalan, menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan berkata 24,683 pemohon lepasan SPM telah mengemukakan permohonan rayuan UPUOnline ke UA.

Permohonan rayuan UPUOnline sesi akademik 2019/2020 itu diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BPKPJPT) dan dibuka pada 5-10 Mei, katanya.

Kementerian Pendidikan berkata dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat selepas tempoh pendaftaran pelajar baharu mengikut program pengajian di UA.

“Surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA dan semua calon berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Kementerian Pendidikan berkata tiada lagi rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline selepas tarikh hebahan keputusan permohonan rayuan diumumkan.

“Tawaran tempat adalah muktamad serta sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Kaunter khidmat runding BPKPJPT untuk cara permohonan kemasukan UA, politeknik, kolej komuniti, dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dibuka di Kementerian Pendidikan, No 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Putrajaya mulai esok (26 Jun) bermula 8.30 pagi hingga 4 petang (waktu dan hari bekerja sahaja) sehingga 2 Julai bagi memudahkan pemohon membuat semakan keputusan permohonan rayuan dan mendapatkan khidmat runding cara.

Kemudahan hotline BPKPJPT 03-88708200 turut disediakan pada waktu dan hari bekerja sahaja untuk membantu menjawab sebarang kemusykilan pemohon.