Keputusan Rayuan Isteri Subahat Bunuh Suami 8 Oktober

KUCHING – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 8 Oktober ini untuk keputusan rayuan seorang isteri yang dihukum mati kerana bersubahat membunuh suaminya, seorang pengurus bank di Sibu, tujuh tahun lepas.

Mahkamah itu pada 26 Ogos lalu telah menetapkan hari ini untuk keputusan rayuan wanita itu, bagaimanapun Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof yang mengetuai panel tiga hakim iaitu Datuk Suraya Othman dan Datuk Wira Kamaludin Md. Said berkata, mahkamah memerlukan hujahan tambahan iaitu kronologi kes berkenaan yang disifatkan sebagai kurang lengkap bagi mahkamah membuat keputusan.

“Mahkamah memberi tempoh 14 hari bermula hari ini bagi Timbalan Pendakwa Raya (Tengku Intan Suraya Tengku Ismail) dan peguam perayu (Lim Heng Choon bersama Roger Chin dan Steven Sia) untuk mengemukakan hujah,” katanya.

Ling Hang Tsyr, 38, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sibu pada 17 Oktober 2017 yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya selepas didapati bersalah atas pertuduhan bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu, pada pukul 1.30 pagi, 14 Jun, 2012.

Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan bersama teman lelakinya, Andrew Tiong King Guan, 31, yang belum didakwa kerana menghilangkan diri sejak 10 Februari 2015.