Keputusan PKPB Di Lembah Klang Diketahui Jumaat Ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka akan membuat pengumuman pada Jumaat ini, berhubung keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang sepatutnya tamat pada 6 Disember ini, perlu dilanjutkan atau tidak. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan penilaian risiko penularan COVID-19 di kawasan terbabit sebelum sebarang pengumuman berkaitan perkara itu.

“Kalau 6 Disember tarikh akhir (tamat PKPB), minggu ini akan dibuat penilaian.

“Biasanya beberapa hari sebelum tamat tempoh, KKM akan memberi nasihat menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saya akan umumkan dalam sidang media.

“Kalau 6 Disember itu Ahad, saya percaya Jumaat saya akan umum sebab hari itu ada mesyuarat MKN, KKM akan membentangkan (penilaian risiko) dalam mesyuarat itu.

“Insya-Allah, kita akan umumkan lebih awal supaya memudahkan perancangan orang awam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. – BH Online