Keputusan Kabinet Ambil Alih PLUS Minggu Depan

PUTRAJAYA – Kabinet akan membuat keputusan berhubung cadangan pengambilan alih lebuh raya PLUS Malaysia Bhd. (PLUS).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kabinet akan memutuskan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh pemilik PLUS, Khazanah Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama empat lagi pesaing mereka iaitu ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad bersama Datuk Wong Gian Kui; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Tan Sri Abu Sahid Mohamad; Widad Business Group dan RRJ Capital.

Jelasnya, kerajaan tidak menghantar sebarang kertas cadangan sebaliknya menyokong apa yang dikemukakan oleh Khazanah dan KWSP kerana kedua-duanya adalah syarikat milik kerajaan (GLC).

“Cadangan kami sama seperti Khazanah dan KWSP, kami menyokong cadangan mereka kerana mereka adalah tabung kebangsaan dan dana negara.

“KWSP bukan milik kerajaan tetapi ia melibatkan sumbangan 50 juta pekerja Malaysia jadi kerajaan perlu menjaga kepentingan mereka bagi memastikan kedua-duanya mendapat nilai yang adil dan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada negara dan pengguna lebuh raya.

“Perlu ada tiga pemenang; kerajaan, pemilik iaitu Khazanah dan KWSP dan seterusnya rakyat.

“Rakyat mesti mendapat kadar pengurangan kadar tol manakala Khazanah dan KWSP juga tidak boleh rugi kerana mereka perlu mendapat nilai yang adil bagi pelaburan mereka.

“Jika tidak, portfolio pelaburan mereka akan berkurangan dan memberi kesan kepada rakyat Malaysia manakala kerajaan pula tidak mahu menanggung beban hutang yang banyak,” katanya semasa sidang media selepas menutup program LIFT di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, keputusan berhubung masa depan syarikat konsesi lebuh raya itu perlu dibuat segera bagi mengelakkan jumlah pampasan akibat penangguhan kadar tol terus meningkat.

Selain PLUS, kerajaan juga sedang menimbangkan cadangan pengambilan alih empat konsesi tol Gamuda Bhd. yang perlu diselesaikan tidak lewat dari 31 Mac tahun depan.

Pada Jun lalu, MoF Inc menawarkan bayaran sebanyak RM4.5 bilion tunai dan bersedia menanggung liabiliti empat konsesi tol di Lembah Kelang daripada Gamuda.

Ia melibatkan konsesi Kesas Sdn. Bhd., Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (SPRINT), Lingkaran Trasn Kota Sdn. Bhd. (LITRAK) dan Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd. (SMART).

Loading...