Keputusan Farid Kamil Tampar Polis Ditangguhkan

KEPUTUSAN pendakwaan pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari berhubung empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara, tahun lalu yang dijadualkan berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan.

Ia berikutan selepas pihak pembelaan Farid Kamil baru sahaja menerima hujahan bertulis yang difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran.

Justeru, Majistret Nor Ariffin Hisham menetapkan 21 Jun depan sebagai keputusan.

Terdahulu peguam, Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil, 38, memaklumkan perkara itu dan Alia mengesahkan kelewatannya disebabkan mengalami masalah kesihatan.

Farid Kamil berambut pendek memakai baju T berwarna merah dan berseluar jeans kelihatan tenang di kandang pesalah.

Usaha pihak media untuk merakamkan gambar terbaharunya itu gagal apabila pihak penjara membuat helah bagi mengelak daripada jurugambar.

Adik Farid Kamil, Fadzil Bahri yang merupakan penjamin abangnya adalah satu-satunya ahli keluarga pelakon itu hadir ke mahkamah.

Pada 16 Januari 2018, suami kepada Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad dan Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin, 23.

Farid Kamil juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Mohd Nizam sebagai pegawai dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Pelakon Tombiruo itu turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Konstabel Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Kesemua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pada 15 Mei lalu, Farid Kamil dipenjara sembilan bulan selepas memilih untuk berdiam diri pada prosiding pembelaan bagi kes menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).

Mahkamah turut memerintahkan Farid Kamil berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun. – Sinar Harian

Loading...