Kepulangan Ainul Mardhiah Tidak Didedah

MELAKA – Kepulangan bayi, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin ke tanah air selepas selamat menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan dalam mulut di London pada 10 Jun lalu, tidak akan didedahkan kepada umum.

Ini kerana bayi yang akan genap usianya 11 bulan esok itu berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan boleh sakit jika ramai yang menunggu ketibaannya di mana-mana lokasi nanti.

Pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr. Nur Amalina Che Bakri, berkata pihak mewakili Ainul Mardhiah akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik bayi berkenaan selamat tiba di tanah air kelak.

“Ainul berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan boleh jatuh sakit jika ramai yang menunggu di balai ketibaan terminal lapangan terbang.

“Ini boleh mendatangkan bahaya kepadanya kerana dia masih kecil dan masih dalam proses pemulihan. Segala usaha baik yang kami buat selama ini akan sia-sia jika sesuatu yang buruk berlaku terhadap Ainul,” katanya menerusi e-mel, semalam.

Dr. Amalina berkata, keluarga Ainul Mardhiah sudah melalui pelbagai ujian dan rintangan demi kesihatan bayi sulung kesayangan mereka.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik sahaja bayi ini tiba di tanah air,” katanya.

Ainul Mardhiah pada awalnya dijadual pulang ke tanah air Isnin lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kesihatan bayi itu terjejas akibat demam dan batuk.

Berikutan itu, pihak hospital terpaksa menahannya untuk rawatan semula dan tinggal lebih lama.

Menerusi laman sosial Instagram dikongsi ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, Ainul Mardhiah sepatutnya dibenarkan pulang ke tanah air pada jam 9.30 malam (waktu London) Isnin lalu dan dijangka tiba di tanah air pada jam 5.30 petang Selasa.

Bayi berkenaan yang dilahirkan pada 13 Ogos 2018, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram dikenali ‘Germ Cell Tumor’ selepas bertarung nyawa lima jam di sebuah Hospital Kanak-kanak di London pada 10 Jun lalu. – BH Online

Loading...