Keperluan Mendesak Kenal Pasti Pembayar Cukai Culas

KUALA LUMPUR – Kejayaan memasukkan pembayar cukai yang berpotensi dalam jaringan cukai menjadi prasyarat untuk memperluaskan asas hasil untuk menambah baik ruang fiskal.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, menerusi kajian Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC), terdapat keperluan mendesak untuk menangani isu mengelak cukai dan salah lapor pendapatan yang menjejaskan sistem taksir sendiri serta keyakinan orang ramai terhadap keseluruhan sistem percukaian.

Katanya, kewujudan sektor tersembunyi, tidak formal dan sektor yang sukar dikenakan cukai turut menyebabkan ketidakadilan kepada pembayar cukai yang patuh untuk membayar cukai.

“Sehubungan itu, mereka yang mengelak cukai perlu dimasukkan dalam jaringan cukai secara strategik,” katanya.

Malah, katanya sistem percukaian yang berkesan memerlukan kewujudan persekitaran yang mendorong pembayar cukai mematuhi undang-undang percukaian secara sukarela.

Sementara itu, katanya tugas pentadbiran cukai yang efisien perlu dilaksanakan pada kos yang minimum kepada masyarakat.

“Justeru, pengurusan pematuhan bukan hanya membabitkan pengauditan, pengesahan dan penguatkuasaan tetapi juga memudahkan pematuhan pembayar cukai,” katanya.

Mengenai pertumbuhan hasil kerajaan Persekutuan, katanya ia menunjukkan trend penurunan daripada purata tahunan 10.7 peratus bagi tempoh 2000-2009 kepada 4.5 peratus bagi tempoh 2010-2018 iaitu kurang daripada purata pertumbuhan tahunan 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal bagi 2010-2018 (purata pertumbuhan KDNK nominal 2000-2009: 8.4 peratus).

Menurut laporan itu, pada akhir 2017, sebanyak 62.4 peratus daripada 1,251,190 syarikat telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) namun hanya 7.8 peratus tertakluk kepada cukai.

“Pada masa sama, hanya 16.5 peratus daripada 15 juta tenaga kerja tertakluk kepada cukai pendapatan individu,” katanya.

Katanya, walaupun kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum dengan ketara sebanyak 41.3 peratus pada 2009 kepada sekitar 23 peratus pada 2018, namun peratusan itu masih besar dan mampu terdedah kepada risiko terutamanya apabila berlaku kejatuhan harga minyak mentah. 

Loading...