Kepala Manusia Dalam Timbunan Sampah?

PARIT BUNTAR – Pengunjung premis perniagaan dan penduduk di Taman Wawasan di Parit Buntar, gempar apabila menemui sesuatu seperti kepala…

PARIT BUNTAR – Pengunjung premis perniagaan dan penduduk di Taman Wawasan di Parit Buntar, gempar apabila menemui sesuatu seperti kepala manusia tertimbus di dalam timbunan sampah di lorong belakang premis di situ, 6 petang hari ini.

Berikutan itu, mereka menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan itu dengan lokasi kejadian mula dipenuhi orang ramai.

Anggota polis yang tiba kemudian segera menjalankan siasatan, namun suasana yang cemas itu bertukar jenaka apabila rambut dan kepala yang disangka manusia sebenarnya adalah kepala patung yang kebiasaan digunakan sebagai pameran di premis menjual pakaian.

Malah, tindakan seorang daripada anggota penyiasat menjentik kepala itu beberapa kali dan mengangkatnya, mengundang ketawa orang ramai yang hadir di lokasi berkenaan.

Tidak dapat dipastikan sama ada kepala patung itu dibuang atau sengaja diletakkan di situ dengan tujuan yang tidak pasti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi berkata, polis menganggap perkara itu sebagai tiada kes dan tidak melakukan sebarang tindakan lanjut. – Harian Metro

Loading...