Kenyataan Guan Eng Seolah-Olah Sarawak Bersalah – Najib

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kewangan yang hanya akan menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak sebanyak RM350 juta sekiranya kerajaan negeri itu membayar hutang adalah satu bentuk penindasan.

Malah, ia juga kekejaman terhadap Sarawak dan murid-murid sekolah.

Ini kerana, dalam Bajet 2018 sejumlah RM2.5 bilion telah diperuntukan untuk memperbaiki sekolah yang berada dalam keadaan daif, termasuk RM500 juta buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia serta masing-masing RM1 bilion di Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bajet dan peruntukan ini telahpun diluluskan dalam Parlimen dan patut dibelanjakan dalam tahun 2018.

“Saya tidak pasti peruntukan untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah telah diberi tapi apabila kerajaan Sarawak menuntut peruntukan RM1 bilion dibelanjakan oleh kerajaan PH bagi sekolah-sekolah daif yang amat memerlukannya, kerajaan PH tak mahu layan.

“Selepas itu, kerajaan PH pula memberi syarat bahawa jika kerajaan Sarawak membayar balik hutang sebanyak RM1 bilion yang belum sampai tempohnya kepada kerajaan pusat, peruntukan untuk sekolah daif ini akan dibelanjakan.

“Kerajaan Sarawak bersetuju dengan syarat ini dan kerajaan PH pun mengambil kesempatan untuk memainkan propaganda seolah-olah mereka baik sangat.

“Akan tetapi, PH masih tidak menepati janji mereka dan sekolah-sekolah daif Sarawak masih tidak mula diperbaiki,” katanya melalui hantaran di akaun Facebooknya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahu Sarawak membayar RM350 juta sebelum fasa pertama projek pembaikan sekolah yang juga bernilai RM350 juta bermula.

Menurut Guan Eng, Ketua Menteri Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.

Setakat 30 Jun lalu, kerajaan negeri Sarawak masih mempunyai hutang sebanyak RM2.352 bilion dengan Kerajaan Persekutuan dan sekiranya Sarawak telah membuat pembayaran sebanyak RM1 bilion, baki hutang negeri itu masih lagi berjumlah RM1.352 bilion.

Selepas itu, beberapa perkara harus dimuktamadkan, di antaranya jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek tersebut, jelasnya.

Najib berkata, tindakan yang dibuat oleh kerajaan itu seolah-olah Sarawak yang bersalah kerana sekolah daif belum mula diperbaiki.

Tegasnya, PH telah mungkir janji untuk memulangkan 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus kutipan cukai kepada Sarawak dan Sabah.

“Tak ingin menyalurkan dana yang telahpun diluluskan dalam bajet. Hari itu, Guan Eng pula fitnah bahawa Sarawak akan bankrap.

“Apabila disangkal dan dikritik hebat kerana dia tak tahu mengira, dia membisu pula.

“Hari ini pula, nak tuding jari dan main politik lagi dengan isu sekolah daif serta pendidikan anak-anak sekolah walaupun ianya jelas PH yang bersalah,” katanya yang mahu rakyat menilai dalam perkara itu. – MalaysiaGazette

Loading...