Kento Momota, 2 Pegawai Sukan Pulang Ke Jepun

SEPANG – Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota dan dua pegawai sukan Jepun yang cedera dalam kemalangan awal pagi Isnin di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini untuk pulang ke Jepun.

Momota dan dua pegawai sukan itu tiba di KLIA kira-kira 8.10 pagi dalam tiga kenderaan berasingan dan disambut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Mereka yang memakai topeng muka kemudiannya dibawa menaiki “buggy” di balai pelepasan KLIA serta dikawal ketat.

Mereka kemudian dibawa ke bilik VVIP KLIA sebelum berlepas menaiki penerbangan ke Jepun yang dijadualkan pada 9.40 pagi.

Momota dan dua pegawai berkenaan keluar dari Hospital Putrajaya malam tadi dan menginap transit di sebuah hotel berhampiran KLIA sebelum berlepas ke Jepun.

Dalam kejadian 4.40 pagi kelmarin, van yang membawa Momota dan tiga lagi dalam perjalanan ke KLIA terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah lori, menyebabkan pemandu van B Nageswarau, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, turut cedera ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35; pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42; dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye.

Momota menjuarai kejohanan Masters Malaysia dengan menumpaskan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen di peringkat akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Ahad. – BH Online

Loading...