Kenapa Turun Papan Iklan PBS Jika Tak Langgar Peraturan?

KOTA KINABALU – Timbalan Presiden PBS, Yee Moh Chai bingung dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan papan iklan parti itu di Sandakan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan pegawai pengurus (RO) mengenai perkara itu dan pegawai tersebut mengakui tiada pelanggaran peraturan pilihan raya dilakukan.

“RO dengan jelas menyatakan tiada unsur kesalahan pilihan raya dari sudut pandangan SPR.

“Jadi kenapa ia diturunkan? Ini kerana mereka diarahkan polis untuk berbuat demikian.

“Kami agak terkejut. SPR sebuah badan bebas, dengan kuasa tersendiri dan belanjawan daripada Parlimen, tetapi mendapat arahan daripada polis.

“Kami akan mendapatkan penjelasan serterusnya daripada polis kenapa papan iklan itu diturunkan. Kami perlu tahu untuk berlaku adil kepada calon kami,” kata Yee kepada pemberita.

Terdahulu, Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe mempertahankan tindakan menurunkan papan iklan itu, dengan mengatakan Majlis Perbandaran Sandakan menurunkannya dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas ia dinaikkan oleh PBS.

Papan iklan itu memaparkan tangkap layar berita yang memaparkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan calon DAP bagi PRK Parlimen Sandakan, Vivian Wong.

Kapsyennya memetik ayat daripada ucapan menteri kewangan itu dalam satu program kempen pada 27 Mac di mana dia berkata rakyat Sandakan boleh mencarinya untuk mendapatkan bantuan jika DAP memenangi kerusi itu.

Ucapan it berkaitan isu letak kereta di Hospital Sandakan. Lim dilaporkan berjanji akan membina satu lot tempat letak kereta untuk pelawat hospital bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Yee berkata PBS tidak menafikan ia mendirikan papan iklan itu, tetapi tertarik dengan respons daripada DAP, hinggakan parti itu membuat laporan polis semalam.

Beliau difahamkan perkara itu sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan. – FMT

Loading...