Kenapa Siasatan Video Seks Songsang Kena Serah Pada PM?

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa siasatan polis berhubung video seks songsang yang membabitkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip seorang menteri perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Soal bekas perdana menteri itu, mengapakah siasatan itu tidak diserahkan kepada pejabat pendakwa raya.

Najib turut mempersoalkan mengapa siasatan untuk menentukan kesahihan video berkenaan mengambil masa lebih dari sebulan sedangkan pakar luar negara memerlukan masa sehari sahaja.

Beliau turut mengapakah pejabat Peguam Negara perlu memberi garis panduan khas kepada pihak polis untuk kes tersebut.

Persoalan-persoalan itu dilontarkan oleh Najib selepas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes video seks melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong yang dikaitkan dengan seorang menteri masih dalam proses siasatan.

Malah, katanya, kementerian itu tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menyelesaikan kes tersebut.

Menurut Muhyiddin lagi, siasatan kes itu masih belum memperoleh sebarang keputusan.

“Biarkan pihak polis menjalankan tugasnya sebelum ia (hasil siasatan) diserahkan kepada saya dan Ketua Polis Negara.

“Selepas itu, kita akan serahkan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri (Mahathir) untuk rujukan seterusnya,” katanya dalamnya semalam semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitiri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga Polis Diraja Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang ditemui pada majlis sama pula memberitahu, siasatan kes tersebut memerlukan tempoh masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Ini kerana, polis tidak mahu ada individu teraniaya akibat siasatan yang tergesa-gesa dan terdapat prosedur tertentu harus diikuti.

“Kita juga amat berhati-hati dalam siasatan ini selain mendapatkan panduan dari pejabat peguam negara,” kata Abdul Hamid. – MalaysiaGazette

Loading...