Kenapa Pemimpin Pakatan Harapan Panik?

1. HUBUNGAN PAS dan UMNO semakin hari semakin baik terutama di bulan Ramadan al-Mubarak ini. Tambah erat menjelang hari lebaran kelak. Saat umat Islam saling bermaaf-maafan dan mengikat tali silaturahim.

2. Tentu sahaja perpaduan ummah yang sedang dijalin antara PAS dan UMNO semakin kukuh. Demi mengembalikan kekuatan umat Islam dan membina masa depannya yang baik.

3. Dua parti terbesar umat Islam dan orang Melayu yang dulunya saling bertelingkah kini sedang menyusun rencana bersama guna mendepani cabaran di hari muka. Khususnya usaha untuk mengalahkan PH yang kini didominasi oleh DAP.

4. Memandangkan kerjasama politik ini semakin baik dan kian membuahkan hasil, PH dirundung resah sehingga memaksa pimpinan mereka campur tangan untuk menggagalkan kerjasama baik ini.

5. Terkini Datuk Husam Musa membuat kenyataan seperti mahu mengajar PAS bagaimana prosedur membuat keputusan bagi memeterai kerjasama secara muktamad antara PAS dan UMNO.

6. Husam mungkin ‘perasan’ dia masih ahli PAS atau Naib Presiden PAS sehingga terbawa-bawa dalam ingatannya bagaimana keperluan PAS dalam memproses keputusan.

7. Ataupun beliau seorang yang ‘busybody’, suka campur tangan urusan dalaman parti lain.

8. PAS telah melalui proses yang begitu teliti dan berhemah dalam membuat keputusan mengenai kerjasama antara PAS dan UMNO.

9. Bermula dari Majlis Syura Ulama, AJK PAS pusat, agensi-agensi tertentu yang dilantik oleh parti untuk membuat kajian, memproses maklumat, merencana asas tindakan sehinggalah akhir nanti, ahli-ahli PAS melalui perwakilan masing-masing akan bermesyuarat dan berbincang mengenainya di muktamar tahunan.

10. Saya percaya itu sebahagian dari percubaan mereka untuk letuskan propaganda supaya timbul rasa tidak puas hati dari kalangan ahli terhadap kerjasama PAS dan UMNO.

11. Satu percubaan untuk menyembunyikan resah keterlaluan yang sedang dialami oleh mereka.

12. Sebelum ini beberapa pemimpin DAP cuba palitkan kerjasama PAS dan UMNO sebagai Taliban dan pengisytiharan perang dengan non Malay.

13. Kini pemimpin AMANAH pula cuba cetus spekulasi mengenai kerjasama tersebut ekoran timbul cadangan pembentukan piagam kerjasama antara PAS dan UMNO kelak.

14. Apa yang zahir ialah mereka sedang kelam kabut saat PAS dan UMNO mengatur rencana untuk mengeratkan kerjasama kedua parti khasnya dan orang Melayu yang beragama Islam amnya tanpa sedikit pun lalai dari turut sama melibatkan kerjasama serta sokongan non Muslim.

15. Sebaiknya Husam fokus urusan dalaman PH sendiri yang masih tidak stabil dan menghadapi kemelut saingan dalaman yang begitu ketara antara parti komponen PH.

16. Husam cuba ‘menilik’ masa depan PAS dan UMNO dengan menganggap hubungan ini tidak akan lama. Sedang beliau lupa nak tilik nasib parti sendiri yang terumbang ambing di dalam PH.

Ramadan Kareem

Sekian.

NASRUDIN HASSAN
27 Mei 2019

Loading...