Kenapa Malu Beritahu Punca Pendapatan, Dividen LTAT Lembap?

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menemplak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana berterusan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila mengumumkan dividen terendah bagi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan 2018.

LTAT hari ini mengumumkan dividen 2 peratus bagi tahun kewangan 2018, penurunan mendadak berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi LTAT, Mohd Zahidi Zainuddin berkata, keuntungan bersih tidak diaudit berjumlah RM221 juta bagi tahun itu ialah penurunan ketara 51.9 peratus berbanding RM459.5 juta bagi tahun sebelumnya.

Penurunan itu didakwa mempunyai kaitan dengan penyelewengan dalam lembaga, termasuk terlebih bayaran dividen di bawah pentadbiran BN.

Mengulas kenyataan itu,  Najib mempersoalkan mengapa kerajaan PH tidak pula menyebut kebanyakan pelaburan besar LTAT telah mencatat kerugian kerana ekonomi semakin merosot selepas PRU14.

Malah, prestasi pasaran saham negara bertukar kepada pasaran  paling corot dalam dunia di bawah PH.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan prestasi merudum itu disebabkan kerugian yang dialami oleh Boustead Holdings.

Katanya, Boustead yang merupakan aset terbesar LTAT mengalami kerugian besar sebanyak RM488 juta pada tahun 2018 berbanding keuntungan RM875 juta untuk tahun 2017 di bawah BN.

Tegasnya, seperti Khazanah Nasional, Boustead Holdings juga tidak pernah rugi selama 9 tahun beliau menerajui kerajaan BN.

Selain itu, nilai saham aset kedua terbesar LTAT iaitu Affin Bank juga jatuh 30% sejak PRU14, katanya.

“Sebab-sebab utama kenapa pendapatan dan dividen LTAT lembap, PH malu nak bagitau pulak,” ujarnya.

Untuk tahun kewangan 2018, LTAT tidak mengisytiharkan bonus.

Sedangkan, kata Najib, purata dividen dan bonus tahunan LTAT untuk tempoh 9 tahun dari 2009 hingga 2017 beliau menerajui kerajaan BN adalah 14.1%. – MalaysiaGazette