“Kenapa Guan Eng Tak Jawab Sendiri?”

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menyindir Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang seolah-olah ‘membantu’ Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan.

Najib sebelum itu membalas kenyataan Guan Eng yang mendakwa tindakannya ke Sandakan, Sabah kerana mahu mengajar pengundi mengamalkan rasuah dengan mengatakan bahawa beliau hanya mahu berbincang bagaimana untuk membeli banglo jauh di bawah harga pasaran telah membuatkan Rayer ‘sentap’.

Menerusi akaun Facebook miliknya, Najib turut mengkritik Guan Eng yang ‘menghantar’ Rayer untuk membalas kenyataan dan tidak menjawab sendiri apa yang diperkatakan bekas Perdana Menteri itu.

“Ada seorang dah ‘sentap’, Melompat-lompat dia kepanasan. Kewayangan (Guan Eng) tak reti jawab sendiri ke?” kata Najib sambil berkongsi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Rayer, hari ini.

Dalam kenyataan rasmi tersebut, Rayer yang merujuk kepada laporan berita portal MalaysiaKini dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘Najib wants to discuss below market price bungalows with voters’ turut mendakwa bekas Presiden UMNO itu, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan ‘warlord’ UMNO tidak mempunyai perasaan malu kerana telah mencuri berbilion ringgit wang rakyat.

Rayer malah menuntut Najib supaya memberi penjelasan mengapa Ahli Parlimen Pekan itu sanggup menyalahgunakan kuasa yang dimiliki semata-mata untuk kehidupan peribadi yang mewah.

“Daripada pergi ke Sandakan, saya menuntut Najib menerangkan mengapa perasaan tamak menguasai diri dan akhirnya menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri untuk memberi barangan mewah termasuk wang ringgit, jam tangan, barang kemas, beg tangan dan kapal mewah.

“Najib, adakah anda lupa bahawa anda sedang didakwa di mahkamah berhubung kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai bilion ringgit. Adakah anda tidak mempunyai rasa malu?” katanya dalam kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE