Kenapa Duit KWAN Digunakan – Najib

INI sebenarnya sebab utama kerajaan PN mahu korek RM5 biilion dari Tabung KWAN: Untuk elak meminjam.

Sejak ditubuhkan, aset dalam tabung KWAN memberi purata pulangan 6.3% setahun.

Ini antara sebab nilai Tabung KWAN naik dari RM4.3b ke RM16.9b pada tempoh 9 tahun saya PM sebab tidak sekalipun kita membuat pengeluaran dan kita asyik tambah modal ke dalam tabung dan dibenarkan rolling untuk jana kekayaan bagi negara.

Manakala kadar faedah bagi pinjaman sukuk tempoh 10 tahun kerajaan adalah sekitar 2%.

Tetapi kerajaan PN lebih ingin korek tabung yang memberi pulangan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kos meminjam pada ketika kadar faedah dunia amat rendah akibat pandemik.

Jika RM5 bilion dalam dana KWAN dibenar rolling 10 tahun dengan kadar pulangan 6.2% setahun, nilai itu menjadi RM9.2 bilion.

Jika kerajaan pinjam RM5 bilion dalam bentuk sukuk 10 tahun dengan kadar faedah 2% maka jumlah bayaran balik selepas 10 tahun adalah RM6 bilion.

Negara akan rugi RM3.2 bilion (RM9.2b total RM6b) setelah 10 tahun.

Kenapa pula nak buat benda yang merugikan kerajaan sebanyak berbilion-bilion Ringgit setahun bagi tahun-tahun mendatang?

Antara sebabnya ialah kerajaan PN sudah pecah bajet tahun 2021 sejak bulan Mac dan mereka tidak ingin hutang negara sebenar cecah angka RM1 trilion.

Inilah hutang langsung sebenar kerajaan.

2017 (masa BN):
RM686.8 bilion – naik RM38b, dividen Petronas RM16b

2018 (masa PH)
RM741 bilion – naik RM52b, dividen Petronas RM26b

2019 (masa PH)
RM793 bilion – naik RM52b, dividen Petronas RM54b

2020 (masa PN)
RM880 bilion – naik RM87b, dividen Petronas RM34b

2021 (perancangan awal PN dlm bajet sebelum bajet pecah)
RM975bilion – naik RM95b, dividen Petronas RM18b

Hutang kerajaan naik sekitar RM300b selepas PRU14 manakala Petronas dijarah RM122b.

Seperti yang saya dedahkan beberapa bulan dahulu, hutang kerajaan sebenarnya telah langgar had hutang 60% daripada KDNK yang dinaikkan PN sendiri dari 55% dalam parlimen pada bulan Ogos setelah ianya naik ke 62.2% pada akhir tahun 2020 akibat kerajaan PN tersalah ramal dan tersalah buat bajet di mana perbelanjaan adalah lebih tinggi dari diramal dan pelaburan asing serta pertumbuhan ekonomi jauh lebih rendah dari andaian kerajaan.

Masa itu, saya saran kerajaan buka semula parlimen untuk usul sekali lagi agar had ini dinaikkan ke 65% tapi kerajaan kata parlimen tak boleh buka sebab terlalu ramai orang tua dalam dewan dan keutamaan kerajaan ialah lindung kesihatan ahli parlimen.

Kenapa pula bajet 2021 juga telah pecah?

Sebab pelaburan asing dan keadaan ekonomi pada tahun 2021 setakat ini rosot berbanding andaian kerajaan akibat Darurat diisytihar.

Hasil kerajaan juga berkurang dan keperluan untuk lebih berbelanja juga lebih tinggi berbanding perancangan asal sebab keadaan Covid gagal dibendung akibat PKP 2.0 separuh masak yang memanjangkan penderitaan Rakyat dan kemusnahan ekonomi berbanding PKP1.0 yang amat ketat dan singkat supaya boleh digunakan sebagai alasan kenapa parlimen tidak boleh disambung dan darurat tidak dipendekkan.

Kerajaan juga telah memberi jauh lebih banyak projek-projek melalui rundingan terus pada tahun ini serta menaikkan had untuk projek rundingan terus semasa Darurat dengan alasan perbelanjaan kerajaan perlu dicepatkan untuk suntik wang ke dalam ekonomi.

Projek apa? Berapa jumlahnya? Siapa yang diberi?

Tidak diketahui sebab parlimen tidak dibenar berlangsung dan kerajaan telah guna kuasa darurat untuk mengeluarkan ordinan darurat yang gantung akta kewangan negara yang mengawal dan memantau perbelanjaan kerajaan.

Sebab itu, kerajaan PN telah pinjam sebanyak RM85 bilion dalam tempoh masa 4 bulan pertama tahun 2021.

Kerajaan PN tidak akan mengaku bahawa mereka telah pecah bajet 2021 walaupun hanya masuk bulan April. Sebab itu, PM8 mengaku telah belanja RM600 bilion dan kerajaan tak ada banyak duit lagi.

Kerajaan PN tidak akan mengaku mereka bimbang hutang negara benar-benar akan cecah angka RM1 trilion sebab ini bahaya dari segi politik.

Kerajaan PN tidak akan mengaku mereka telah langgar had hutang pada akhir tahun 2020 lepas dan mereka tidak mahu usul untuk lagi naikkan had ini sebab ini perlu parlimen bersambung.

Kerajaan PN tidak akan mengaku bahawa langkah untuk korek tabung KWAN berbanding meminjam akan merugikan kerajaan sebanyak RM3.2 bilion.

Kerajaan PN juga tidak akan mengaku bahawa sebab-sebab di atas adalah punca utama mereka mahu korek KWAN.

Maka jalan paling mudah kerajaan PN ialah salahkan hutang RM32.2b 1MDB dan salahkan Najib walaupun kerajaan telah terima balik dana sebanyak RM33.4b setakat ini serta baki aset 1MDB masih cecah RM100b dan dana KWAN RM16.9b yang mereka korek itu juga ketinggalan kerajaan BN setelah dinaikkan masa Najib dari RM4.3b ke RM16.9b.

(Sebenarnya saya amat syaki RM33.4b 1MDB yang telah diterima balik melalui pelbagai perjanjian penyelesaian juga telah digunakan terlebih dahulu oleh kerajaan PN (sebab satu sen prinsipal hutang 1MDB tak pernah dilangsaikan sejak PRU14) tapi tidak berpeluang bertanya sebab parlimen tutup kerana terlalu ramai orang tua).