Kenangan Zaman Remaja Bersama Sultan Sallehuddin

ALOR SETAR – Pemurah, mudah berkawan, berpekerti lembut tetapi tegas adalah antara sifat yang bermain di bibir rakan-rakan sekolah mengenai keperibadian Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, 76, semasa remaja.

Ketika mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dekat sini, baginda aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk ragbi, bolasepak dan perbahasan.

Pada 1958, baginda menyertai aktiviti berakit buluh dari Sungai Sik sehingga ke Sungai Kuala Muda yang memakan masa empat hari.

Sejak di bangku sekolah, baginda memang mudah bergaul dengan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kedudukan.

Jadi, tidak hairanlah jika rakan ketika belajar di KSAH pada 1950-an sangat menyanjung tinggi baginda yang akan ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 22 Okt ini.

‘LIGAN’ TUANKU

Antara rakan sekelas baginda di KSAH, Lim Han Seng, 75, berkata mengenali baginda adalah salah satu kenangan paling manis dalam hidupnya, apatah lagi rakan baiknya itu akan ditabalkan sebagai Sultan Kedah.

Walaupun baginda adalah anakanda kepada Sultan Kedah ke-27, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, kata beliau, baginda mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.

Lim yang pernah menjadi guru sementara sebelum menyertai perniagaan keluarganya masih ingat ketika beliau dan beberapa rakan asrama sentiasa menanti tibanya hujung minggu kerana Tuanku Sultan sering mengajak mereka untuk ikut balik ke Istana Kuning.

Selalunya bila berada di istana itu, baginda menjamu mereka dengan pelbagai hidangan termasuk coklat.

“Saya sangat bertuah kerana selalu diajak ke Istana Kuning. Masa tu 1950-an, kami dijamu coklat. Harga coklat sangat mahal bagi kami dan jika beli pun, mampu setakat satu sahaja sebab coklat itu diimport dari United Kingdom, dan hanya dijual di sebuah kedai di Jalan Langgar.

“Waktu tu kami tak ada banyak duit, tapi Tuanku yang ada segalanya sangat baik dan selalu ajak kami bersama dalam banyak hal. ‘Makan, makan, ambillah apa sahaja, kata Tuanku’,” cerita Lim kepada Bernama.

Sultan Sallehuddin juga disifatkan sebagai seorang yang berpekerti sangat lembut dan tidak pernah marah-marah walaupun diusik oleh rakan-rakan.

Mengimbau kisah lalu, ketika kelas pendidikan jasmani mereka berseloroh sambil mencuit baginda yang kemudiannya melarikan diri. “Kami pun ligan (kejar) Tuanku,” kata Lim sambil tersenyum.

SAYANG HAIWAN

Mungkin ramai juga tidak tahu, Sultan Sallehuddin sangat menyayangi haiwan, kata seorang lagi rakan baginda, Datuk Syed Azizan Syed Mohamed Al Idrus, 74.

Syed Azizan yang merupakan cicit Sultan Kedah ke-26, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, berkata beliau sangat menghormati Sultan Sallehuddin yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

“Tuanku… orangnya lembut tetapi tegas, berprinsip dan selalu mengikut lunas undang-undang serta tidak mementingkan kebendaan.

“Waktu di KSAH, saya di kelas sains, Tuanku di kelas sastera dan sangat meminati sejarah sehinggalah ke hari ini. Tuanku suka membaca terutamanya buku sejarah dan sangat ariff mengenai subjek itu,” tambah beliau yang pernah bertugas sebagai Pengurus Besar di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Bukan itu sahaja, Sultan Sallehuddin juga mewarisi sifat almarhum ayahanda baginda yang sangat mencintai haiwan.

“Ini terbukti dengan sifat Tuanku yang gemar memberi makanan kepada kucing jalanan yang datang ke rumah. Janganlah pukul binatang apatah lagi jika di depan Tuanku.

“Jadi tidak hairanlah jika Tuanku berhasrat menaik taraf zoo yang sedia ada di Istana Anak Bukit agar lebih cantik dan selesa,” katanya.

Sifat Sultan Sallehuddin yang amat rapat dengan rakyat dapat dilihat apabila baginda sering berkenan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau yang jauh, tidak pernah atau jarang dikunjungi oleh kerabat diraja lain.

“Tuanku suka pergi ke surau dan masjid di kampung-kampung, contohnya baru-baru ini Tuanku pergi ke Masjid Tanjung Pauh di Jitra serta beberapa masjid di Kulim dan Sik untuk bersolat dan mendekati rakyat,” katanya.

LAYANAN SAMA RATA

Seorang lagi rakan sekelas baginda sejak 1956 hingga 1961, Datuk Syed Ariff Fadzillah Syed Awalluddin,75, yang pernah tinggal bersama-sama Tuanku Sultan di asrama KSAH juga menyifatkan baginda sebagai seorang yang sangat pemurah dan tidak kedekut.

“Tempat tidur (katil) Tuanku dulu tidak jauh dari katil saya sewaktu di asrama, Tuanku adalah seorang yang mempunyai karakter yang sangat ‘simple’, baik hati dan bertimbang rasa pada sesiapa sahaja.

“Sebagai contoh masa bulan puasa, apabila balik dari istana ketika cuti hujung minggu, Tuanku pasti akan bawa ole-ole makanan untuk dinikmati bersama-sama kawan-kawan di asrama, itu saya ingat sehingga sekarang,” katanya.

Syed Ariff Fadzillah, yang merupakan bekas Duta Malaysia ke beberapa buah negara, antaranya Thailand dan Korea Selatan, berkata baginda juga tidak pernah menunjuk-nunjuk atau bersikap sombong atas kedudukan sebagai anak Sultan Kedah pada ketika itu.

“Tiada tempat istimewa untuk Tuanku di kelas mahupun asrama, di mana kami mandi di situ Tuanku mandi, di mana kami makan di situ juga Tuanku makan. Tuanku dilayan sama rata, ketika menjadi ketua kelas pula, Tuanku melayan kami semua sama rata,” katanya.

Tambah beliau, baginda merupakan seorang yang senang bergaul dan mudah diajak bergurau, pada masa sama rakan-rakan sekolah tetap mempunyai rasa hormat dan memanggil baginda sebagai ‘Tengku’.

“Kami tidak pernah melampaui batas dan sentiasa menghormati Tuanku,” katanya.

Syed Ariff Fadzillah yakin bahawa Sultan Sallehuddin yang berjiwa rakyat dengan karakter sedia ada, serta didikan displin dalam ketenteraan, pasti akan menjadi seorang sultan yang sangat disenangi dan disayangi rakyat.

“Sahabat-sahabat Tuanku juga terdiri daripada pelbagai kaum. Saya percaya dengan keperibadian dan latar belakang baginda, pasti boleh memerintah Kedah dengan adil dan baik,” katanya.

BERBAKTI SEBAGAI TENTERA

Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sangat meminati bidang ketenteraan.

Jadi, tidak hairanlah jika baginda pernah berkhidmat dengan angkatan tentera sejak usia 20-an. Malah, baginda cukup dikenali dalam bidang ketenteraan melalui penglibatan dalam beberapa operasi di sepanjang sempadan negara.

Baginda menjalani latihan kadet sebelum dihantar ke India Military Academy untuk menjalani kursus ketenteraan selama setahun pada 1962.

Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan pada 1964 dan ditugaskan di Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Selama berkhidmat, baginda pernah terlibat dalam beberapa operasi termasuk di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Malah, ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1960an, Sultan Sallehuddin bersama batalion itu mengambil alih tugas di Kalabakan dan sempadan Indonesia/Malaysia, di Kampung Mentadah, Simpang Tiga serta Apas Balong di Tawau, Sabah.

Sultan Sallehuddin bersara daripada angkatan tentera pada 14 Februari 1974.

Disunting oleh Sarimah Othman.- Bernama

Loading...