Kempen Rumah Ke Rumah Perlu Ada Permit Polis – SPR

PETALING JAYA – Semua parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan bahawa kempen yang dibuat dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata program tinjauan mesra (walkabout) pula yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

“Semalam telah diadakan perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya. Tujuan perjumpaan adalah bagi menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen terutama berkaitan dengan program walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti yang bertanding.

“Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar menambah, bahan kempen yang berunsurkan hasutan dan provokasi, tidak memaparkan nama dan alamat penerbit dan pencetak akan diturunkan.

Katanya bendera yang dikibar atau digantung di tepi jalan yang boleh mengganggu penglihatan dan berbahaya kepada orang ramai juga akan diturunkan.

“Mana-mana bendera yang dikibar atau digantung pada kenderaan berkempen secara berbahaya kepada orang ramai juga akan diambil tindakan sewajarnya.

“Kenderaan berkempen yang dipasang dengan bendera serta alat pembesar suara serta bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi hendaklah memohon permit berkempen daripada polis.

“Kenderaan berkenaan hendaklah menutup suara dan sebarang rakaman kempen semasa bergerak, dan hanya membukanya apabila kenderaan berhenti di lokasi berkempen yang bersesuaian serta tidak menghalang lalu lintas,” tambahnya.

Sementara itu, Azhar berkata pihaknya akan melaporkan maklumat berkaitan statistik kesalahan serta bilangan laporan polis dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat sepanjang tempoh berkempen di Facebook, Twitter dan laman web SPR setiap hari sepanjang tempoh PRK tersebut.

“SPR berharap semua calon dan parti akan berkempen dengan lebih matang sepanjang tempoh berkempen yang berbaki lima hari lagi serta mematuhi peraturan berkempen agar PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Loading...