Kempen Kawalan Guna Gajet, Keluarga Bijak Siber Perlu Diperluas

TUARAN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu kempen kawalan penggunaan gajet dan keluarga bijak siber diperluas sebagai usaha mengekang anak-anak daripada terdedah kepada bahan lucah dan pornografi dalam Internet.

Beliau berkata kempen seumpama itu boleh dilaksanakan melalui agensi kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran keluarga dan masyarakat dalam mengawal penggunaan gajet selain melayari alam siber secara berhemah.

“Program (kempen) sebegini perlu melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan keluarga di Malaysia pada masa mendatang,” katanya berucap merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew dan Pembantu Menteri Kewangan negeri Kenny Chua.

Wan Azizah berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima 2014 menunjukkan medium komunikasi dalam kalangan remaja dengan ibu bapa adalah melalui telefon (73.0 peratus), sistem pesanan ringkas (54.6 peratus) dan media sosial (15.6 peratus), sekali gus memperlihat penggunaan gajet begitu ketara dalam kalangan mereka pada masa kini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata berdasarkan kajian sama, sejumlah 35.3 peratus remaja berumur 13 hingga 24 tahun terdedah kepada pornografi dan daripada jumlah itu 60.8 peratus memperoleh bahan berkenaan daripada Internet, telefon pintar (35 peratus) dan CD atau DVD (20 peratus).

Beliau berkata penggunaan gajet secara tidak terkawal boleh memberi implikasi negatif kepada para pengguna terutama kanak-kanak jika disalahgunakan apatah lagi digunakan tanpa pengawasan ibu bapa.

Beliau berkata keluarga berperanan sebagai institusi yang antara lain memberi perlindungan, bimbingan dan didikan kepada pembentukan individu unggul selain menjadi tulang belakang dalam proses pembentukan masyarakat dan negara.

Menurutnya pembangunan negara bangsa perlu bermula dengan institusi kekeluargaan yang utuh dalam segala aspek melibatkan pegangan agama, kasih sayang, moral serta sahsiah baik dan terpuji.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga kian meruncing sehingga menyumbang kepada gejala sumbang mahram, penderaan anak, keganasan rumah tangga, seks sebelum nikah serta menonton video lucah yang amat membimbangkan.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara seramai 4,992 anak tidak sah taraf telah dilahirkan ibu berusia 18 tahun ke bawah pada 2017.

Sehingga Jun 2018, bilangan anak tidak sah taraf dilahirkan ibu berusia bawah 18 tahun adalah seramai 1,664 orang, katanya.

Bagi kes pembuangan bayi pula, Wan Azizah berkata sebanyak 120 kes buang bayi telah direkodkan sepanjang 2017.

“Angka-angka ini menunjukkan bahawa peranan keluarga perlu diupayakan, diperkukuh serta diberi nilai tambah agar mampu mengawal dan membendung ahli keluarga masing-masing supaya tidak terjerumus dalam gejala negatif,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata kerajaan telah memgambil pelbagai inisiatif melihat kepada kepentingan institusi keluarga dan kebejatan masalah sosial dengan memperkenalkan Dasar Keluarga Negara (DKN) yang digubal pada 2010.

Beliau berkata dasar itu antara lain menekankan institusi keluarga merupakan landasan tepat dalam pembangunan modal insan bagi matlamat ke arah sebuah negara maju.

Wan Azizah berkata DKN akan diperkasa sebagai panduan kepada semua pihak terlibat supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam proses pembangunan dasar dan negara dalam pelbagai bidang ekonomi, persekitaran fizikal, politik, kerohanian serta sains dan teknologi.

Ini adalah selaras dengan gagasan kerajaan seperti yang terkandung dalam Buku Harapan menerusi Janji 53 iaitu institusi keluarga dan kejiranan sebagai asas kepada ketamadunan bangsa, katanya.

Mengenai seminar, Wan Azizah berkata penganjuran program seumpama itu adalah satu usaha murni yang boleh diikuti oleh semua pihak khususnya NGO bagi membantu kerajaan dalam menangani isu serta permasalahan sosial yang merencatkan perkembangan insan dan pembangunan negara.

Seminar sehari dengan slogan ‘Pornografi Pemusnah Keluarga’ itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah; Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara; Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Sabah dan IPG Kampus Kent. – BERNAMA

Loading...