Kempen Berbaki Sehari, Isa Samad Pergiat Gerak Kerja

PORT DICKSON – Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Sabtu ini, calon Bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mempergiatkan gerak kerja kempennya dari rumah ke rumah untuk menarik sokongan seberapa ramai pengundi yang disifatkannya lebih berkesan.

“Masa hanya tinggal kurang 48 jam lagi… jadi, saya perlu giat berkempen walaupun saya sudah turun di banyak tempat. Saya perlu bekerja kuat dan mendampingi pengundi secara terus. Saya akan menggunakan saki baki hari yang tinggal dengan strategi mempergiatkan kempen menemui seberapa ramai pengundi di Parlimen Port Dickson.

“Walaupun agak penat menemui penduduk di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut dari pagi hingga malam, tetapi cara ini lebih berkesan. Saya bersyukur kerana ramai yang mengenali saya kerana saya adalah calon tempatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen di Teluk Kemang di sini, hari ini.

Mohd Isa, yang juga bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), berkata penduduk yang beliau temui memberi respons sangat baik dan berjanji akan menyokongnya.

Di lokasi lain, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu membidas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyifatkan beliau tidak lagi relevan bertanding pada PRK berkenaan.

“Saya pun tak tahu relevan ke tidak, tapi ramai juga ahli politik yang tak relevan. Soal relevan itu sangat subjektif, mungkin saya relevan di Port Dickson…bukannya di Jelebu. Jadi, benda-benda ini sangat subjektif… jadi, tak ada apa yang menyebabkan saya tak relevan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa kempen beliau di Kampung Paya, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rais dalam ceramahnya semalam dipetik sebagai berkata Mohd Isa tidak relevan bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson.

Mengenai hasil kajian yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati sokongan masyarakat Port Dickson lebih cendorong kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding beliau, Mohd Isa menyifatkan kajian berkenaan memihak sebelah pihak.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Mohd Isa, Anwar yang mewakili Pakatan Harapan, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – BERNAMA

Loading...