Kempen Beli Produk Muslim Bukan Rasis

SUNGAI PETANI – Tidak memahami konsep perniagaan sebenar dalam Islam berkemungkinan punca tindakan melabel dilakukan terhadap Kempen Beli Produk Muslim sehingga dianggap rasis oleh pihak tertentu.

Timbalan Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, kempen berkenaan bertujuan mengukuhkan ekonomi umat Islam menjalankan perniagaan secara harmoni, tiada diskriminasi atau penipuan sekali gus memohon keberatan Ilahi.

Menurutnya, tindakan melabel dengan mengistilahkan kempen sebagai rasis adalah tidak benar sama sekali memandangkan objektif utama adalah bermatlamat mahukan umat Islam arif dalam perniagaan.

“Ada sesetengah pihak cuba label dengan agak kasar, rasis dan guna sentimen agama.

“Kempen ini harmoni bukan kita boikot yang lain tetapi nak beritahu bahawa umat Islam ada ekonomi Islam, cara perniagaan Islam, bagaimana untuk berniaga tanpa diskriminasi, tak boleh tipu dan paling penting kita nak berkat,” katanya.

Beliau ditemui semasa menghadiri taklimat Belilah Produk Muslim Secara Atas Talian kepada pengeluar dan pembekal produk Muslim di Bandar Amanjaya, Sungai Petani semalam.

Menurutnya, dalam masa sama, pihaknya yakin pendekatan melalui kempen ini mampu memberi didikan kepada peniaga menjual secara jujur, mesra pelanggan di samping dapat memberi perkhidmatan memuaskan kepada pelanggan.

“Konsumer akan dapat produk bersih, halal, patuh syariah di mana ia mampu memperkukuh ekonomi Islam, apabila mendapat pulangan baik, kita ingatkan mereka keluarkan zakat dan bantu konsumer balik,” katanya.

Beliau berpendapat, pengeluar produk Islam saling berkait dengan bukan Islam di mana dalam kitaran perniagaan, sudah pasti ia memerlukan satu sama lain untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Jika produk Muslim berjaya, sudah pasti pengeluar bukan Muslim juga seiring kerana dalam konteks tertentu, kita saling memerlukan antara satu sama lain dalam memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Namun, katanya, urusniaga yang dijalankan antara Muslim dan bukan Muslim haruslah patuh syariah sebagaimana ditekankan dalam Islam.

Ummah mensasarkan 1,000 pengeluar produk Muslim berdaftar sebelum Kempen Beli Produk Muslim dilancarkan pada 1 Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, katanya, setakat ini hampir 200 pengeluar produk Muslim berdaftar menyertai kempen di mana kesemua produk diberikan peluang memasarkan perniagaan melalui aplikasi baharu yang dibangunkan iaitu, Abata.

“Bagi 1,000 pengeluar terawal yang berdaftar, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memasarkan produk melalui Abata, namun selepas jumlah itu, kita sedang merancang untuk mengenakan caj bagi pengiklanan dalam aplikasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Kempen Beli Produk Muslim akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Oktober depan dengan sasaran 1,000 pengeluar produk Muslim berdaftar.

Mohd Zai juga berharap agar aplikasi Abata mampu mendapat capaian mencecah 500,000 konsumer bagi mewujudkan suasana urusniaga Islam secara harmoni selain mempromosikan produk mereka ke seluruh Malaysia.

Menurutnya, mana-mana pengeluar Muslim yang mahu menggunakan aplikasi Abata, boleh memuat turun aplikasi berkenaan dan berdaftar secara atas talian. – Sinar Harian