Kemerdekaan Perlu Selari Dengan Tuntutan Agama

KUALA LUMPUR – Meskipun negara sudah mengharungi 63 tahun tempoh pascamerdeka, namun erti kemerdekaan itu ada kalanya dicemari dengan ideologi yang ekstremis hingga ada yang agak terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar.

Dalam konteks agama, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah mentakrifkan kemerdekaan dalam Islam sebagai kebebasan menjalankan tanggungjawab agama tanpa halangan sama ada untuk melakukan perkara wajib atau sunat.

Katanya, kemerdekaan itu sendiri mempunyai makna yang suci dalam Islam iaitu kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. 

“Hakikatnya, semua makna itu menjurus kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini. Bagi seorang Muslim nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dihayati maknanya,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah masyarakat tersalah tafsir dalam memahami hak asasi manusia sehingga mereka memahami merdeka sebagai sebuah kebebasan berfikir dan melakukan apa sahaja tanpa mengikut tuntutan agama.

“Oleh itu, perlu ada sempadan tertentu dalam mengatur hak asasi ini dan sempadan itu adalah melalui ajaran agama dan perundangan, mesti ada undang-undang yang mengawal kehendak masyarakat supaya ia tidak berada di luar norma kemanusiaan,” katanya.

Mengimbau kembali sejarah, beliau berkata setelah negara mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, maka wujudnya negara yang mempunyai undang-undang sendiri seterusnya memberi kuasa kepada orang Islam membentuk negara berdaulat mengikut acuan agama.

Tanpa memperincikan, beliau berkata pada zaman British memerintah dahulu, banyak kekangan dalam perlaksanaan tanggungjawab sebagai Muslim tetapi selepas merdeka, negara sudah tidak lagi ditekan sehingga masyarakat dapat melaksanakan tuntutan agama dengan bebas. 

Menurutnya lagi, agenda kemerdekaan sebenar juga adalah untuk membela golongan tidak berkemampuan dan tertindas supaya mereka turut sama mengecapi kemerdekaan dan kemewahan hasil daripada kemerdekaan tersebut.

“Tanpa keadilan dan pembelaan kepada golongan itu, kemerdekaan hanyalah sekadar ‘cakap-cakap sahaja’ yang tidak mempunyai sebarang pengertian di sisi agama.

“Perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam pada zaman dahulu ialah kedatangan Islam membawa keadilan, tamadun dan perkembangan ilmu berbeza dengan penjajah yang menawan dan membunuh penduduk asal sesuatu tempat lalu merampas hasil bumi yang ada di situ,” katanya.

Sementara itu, penceramah terkenal Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata kemerdekaan perlu disambut menurut tuntutan Islam yang membezakan diri daripada pihak penjajah serta golongan yang menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata kemerdekaan pada hari ini disambut secara meluas di seluruh negara bagi memperingati kegigihan serta kejayaan orang terdahulu yang telah berusaha berjuang dan berkorban mendapatkan hak dan kebebasan untuk negara tercinta.

“Kejayaan tersebut adalah kemenangan untuk diraikan oleh generasi akan datang seterusnya membangkitkan perasaan bangga apabila menyedari bahawa nikmat keamanan dan kejayaan negara merupakan hasil pengorbanan dan titik peluh nenek moyang kita dahulu,” katanya.

Justeru, katanya orang ramai perlu terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai memperingati kemerdekaan dan melengkapkan penghayatan setiap manusia terhadap makna dan hakikat kemerdekaan walaupun negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Walaupun tahun ini kita tidak ada sambutan hari Merdeka seperti kebiasaan berikutan COVID-19, namun pengisian merdeka itu masih boleh dilakukan seperti mengadakan solat hajat di rumah atau di masjid. Kita perlu menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan utama dalam hidup,” katanya. – BERNAMA

Loading...