Kementerian Tamatkan Perkhidmatan Haziq

PUTRAJAYA – Kementerian Industri Utama menamatkan perkhidmatan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang sebelum ini merupakan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kementerian dalam satu kenyataan memaklumkan penamatan kontrak perkhidmatan Haziq Abdullah berkuat kuasa pada 18 Jun 2019.

“Satu pengakuan yang tidak beretika di dalam media sosial telah dibuat menerusi klip video oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang merupakan SUSK kepada Timbalan Menteri Industri Utama pada 12 Jun 2019.

“Pihak kementerian memandang perkara tersebut sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Surat tunjuk sebab telah diberikan dengan serta-merta dan Haziq Abdullah telah menjawab. Sehubungan itu, kementerian telah mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 18 Jun 2019,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dengan penamatan kontrak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu, ia bermakna kementerian tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Haziq Abdullah.

“Kementerian tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej kementerian,” memetik kenyataan itu.

Haziq Abdullah, 27, membuat pengakuan mengejutkan baru-baru ini apabila mendakwa dia merupakan salah seorang lelaki dalam video seks mirip seorang menteri kanan yang tular minggu lepas.

Lelaki tersebut turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam video berkenaan.

Begitupun, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menganggap ia adalah komplot jahat untuk menjatuhkan karier politiknya.