Sasar 60,000 Pemegang Ijazah PhD Menjelang 2023

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan komited mencapai sasaran 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2023 menerusi Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementerian sentiasa mengambil langkah proaktif dan inovatif dalam memastikannya berjaya dicapai menerusi penawaran pelbagai Skim Geran Penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan.

“Skim Geran Penyelidikan yang ditawarkan ini merangkumi penyelidikan dalam pelbagai bidang sekaligus berupaya menghasilkan penemuan baharu yang akhirnya dapat dimanfaatkan terus kepada komuniti.

“Pada masa kini, kementerian juga menawarkan program tajaan biasiswa dan hadiah latihan persekutuan di mana fokus utama tajaan ini adalah kepada tenaga pengajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Antaranya Skim Latihan Akademik Bumiputera iaitu skim latihan yang diberikan kepada pensyarah untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD,” katanya.

Maszlee menjawab pertanyaan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang ingin tahu sama ada kementerian meletakkan sebarang sasaran jumlah pemegang Master dan PhD yang ingin dicapai dalam tempoh beberapa tahun serta usaha ke arah menambahkan jumlah pemegang ijazah sarjana (Master) dan PhD dalam negara.

Beliau berkata melalui usaha yang telah dijalankan kementerian sebelum ini, statistik menunjukkan pada 2017, seramai 22,342 pemegang PhD warganegara dari institut pengajian tinggi telah berjaya dilahirkan.

Bagaimanapun katanya jumlah tersebut tidak termasuk pemegang PhD warganegara yang melanjutkan pengajian di luar negara.

“Jika diambil keseluruhan enrolmen pelajar di peringkat PhD, sasaran 60,000 itu berjaya dicapai menjelang 2030 sekiranya semua pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

Loading...