Kementerian Kenal Pasti 50 Taska Yang Akan Dibina Di Agensi Kerajaan

GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengenal pasti 50 taska yang akan dibina di premis kerajaan pada tahun hadapan bagi meringankan permasalahan wanita yang bekerja syif.

Timbalan Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata pada masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui bahagian kanak-kanak telah memperoleh senarai nama agensi yang telah menghubungi jabatan itu bagi mendapatkan bimbingan untuk menubuhkan taska.

“Maka kami akan tengok bagaimana kami boleh mengedarkan bajet ini kepada agensi yang memerlukan. Apa yang kami nak bagi mesej kepada agensi kerajaan, adalah walaupun mereka tak ada ramai wanita dalam agensi itu, tidak bermaksud mereka tidak perlu wujudkan pusat penjagaan kanak-kanak.

“Seperti bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, polis, selalunya anggota lelaki, tetapi tidak bermaksud polis tak payah buat taska di tempat kerja. Kena buat juga mungkin pasangan anggota polis muda akan hantar anak mereka ke situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sesi Perbincangan Meja Bulat : Mitos & Realiti Gangguan Seksual : Apa Tindakan Seterusnya di sini hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ pada 2 Nov lalu, memperuntukkan RM10 juta untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bangunan kerajaan ke arah meringankan bebanan ibu yang bekerja.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan semua agensi kerajaan yang mempunyai petugas bekerja secara syif menubuhkan Taska di tempat masing-masing pada Januari 2019. – BERNAMA

Loading...