Kembalikan Semula Geran Mybrain, Kata Najib

BANGI – BN akan terus komited menjaga kebajikan pelajar termasuklah mengembalikan semula program pemberian geran Mybrain sekiranya parti itu diberi kepercayaan mentadbir negara pada masa akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, aspek pendidikan merupakan asas terpenting bagi negara dalam melahirkan modal insan yang cemerlang.

Katanya lagi, tindakan kerajaan PH menghentikan pemberian geran untuk pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dan Ijazah Sarjana Muda itu tidak seharusnya berlaku.

“Program Mybrain ini diperkenalkan ketika zaman BN dan saya memerintah untuk beri peluang kepada pelajar yang berkebolehan melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dan PhD.

“Insya-ALLAH saya akan terus memperjuangkan program ini dalam posting-posting saya di Facebook agar program ini diperkenalkan semula.

“Ini kerana saya ingin melihat ia diteruskan semula dan tiada sebab ia perlu dihentikan,” katanya ketika sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.

Najib menambah, selain memperjuangkan program Mybrain, beliau juga berharap kerajaan yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengembalikan potongan 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membuat bayaran penuh pinjaman mereka.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit berucap di hadapan kira-kira 200 mahasiswa sebaik selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengikut perancangan, Ahli Parlimen Pekan itu bakal mengadakan Program Sembang Santai Bossku anjuran Persatuan Mahasiswa UKM.

Bagaimanapun pihak pengurusan universiti itu mengeluarkan arahan supaya program yang sepatutnya diadakan hari ini di bangunan Pusanika itu ditangguhkan.

Semalam, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, program berkenaan ditangguh kerana pihak pentadbiran universiti itu tidak dimaklumkan mengenai program berkenaan.

Tambah beliau, sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan dalam masa terdekat. – Sinar Harian

Loading...