‘Kematian’ Utusan Pencapaian Banteras Perkauman – Rayer

AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyifatkan nasib Utusan Melayu yang dikatakan bakal memberhentikan penerbitan edisi cetak esok sebagai pencapaian terbesar dalam usaha membanteras perkauman.

“Saya ingat kematian Utusan akan merupakan pencapaian terbesar Pakatan Harapan ketika kita cuba menguburkan sifat perkauman dalam negara ini dan meraikan hari kemerdekaan ulang tahun ke-62,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli parlimen DAP itu mendakwa akhbar itu mempunyai rekod tidak menyumbang ke arah pembangunan dan integrasi negara sejak kemerdekaan.

“Sebaliknya, hanya menyebarkan perkauman, kebencian, politik yang memecah belah dan ketaksuban ketika berada di puncaknya,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Rayer menyatakan rasa simpati dengan nasib pekerja Utusan yang kini menghadapi masa depan yang tidak menentu.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan akan dapat membantu semua pekerjanya dengan menawarkan mereka pekerjaan alternatif di jabatan kerajaan masing-masing kerana semua pekerja ini mempunyai keluarga,” katanya.

Rayer berkata pekerja Utusan tidak harus dipersalahkan atas keputusan pihak atasan dan editor mereka selama ini.

Utusan Melayu (M) Bhd. dijangka akan memberhentikan penerbitan edisi cetak akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bermula esok ekoran kekangan kewangan.

Bagaimanapun keputusan itu masih belum dimuktamadkan lagi. – Malaysiakini