Kematian Nur Dinie Damia Tiada Kaitan Influenza – MB

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, sekali lagi menegaskan kematian murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain tiada kaitan dengan jangkitan influenza.

Penegasan itu dibuat berikutan kekecewaan keluarga Nur Dinie Damia yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas penafian kerajaan Johor dan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap dakwaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai itu positif influenza.

“Kita berpandukan ujian data klinikal daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA) memang negatif. Jadi kenyataan kita berpandukan HSA.

“Kalau dari (hospital) swasta, saya tidak mahu komen,” katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan Peringkat Johor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan ujian sampel klinikal terhadap Nur Dinie Damia yang sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA adalah negatif bagi jangkitan influenza.

Dr. Noor Hisham dilaporkan berkata punca kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun itu kini masih dalam siasatan pakar forensik.

Punca sebenar kematian Nur Dinie Damia menimbulkan tanda tanya apabila EXCO Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Aman Rabu, mengesahkan kanak-kanak itu dijangkiti influenza pada sidang media di Jabatan Kesihatan Johor, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Dr. Sahruddin pada sebelah petang pula dilaporkan berkata, ujian dijalankan pakar HSA mendapati Nur Dinie negatif influenza dan kritikal disebabkan kegagalan hati dan buah pinggang.

Nur Dinie, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati, meninggal dunia di HSA pada 10.48 malam, Isnin lalu.

Dia sebelum ini mendapatkan rawatan di HSA sejak 10 Januari selepas disyaki dijangkiti influenza, namun disahkan negatif daripada penyakit itu petang Ahad.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, dekat Pontian, 10 pagi, Selasa lepas.

Dalam pada itu, Dr. Sahruddin turut menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan jangkitan influenza yang sedang melanda ketika ini.

Beliau berkata, influenza adalah satu penyakit yang biasa akan melanda terutamanya pada hujung tahun.

“Influenza ataupun selsema adalah kes yang biasa terutamanya pada November hingga Mac berikutan keadaan cuaca dan masyarakat kita akan melancong pada hujung tahun,” katanya. – BH Online

Loading...