Kematian Anggota Tentera: Polis Sudah Panggil Beberapa Saksi

CHERAS – Polis sudah memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota tentera dipercayai terjun dari tingkat tiga kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor, 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata saksi termasuk anggota dari kem tentera sama, manakala aspek siasatan meliputi detik sebelum mangsa dipercayai terjun.

“Kita merakam percakapan mereka, termasuk untuk mengetahui sama ada mangsa dipercayai bertindak sedemikian kerana takut atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, polis sedang giat melakukan siasatan, termasuk mengenal pasti punca kematian dan sama ada wujud unsur ugutan, tekanan serta penderaan terhadap mangsa sebelum kejadian itu berlaku. – BH Online

Loading...