Kematian Aimin: Reman 3 Remaja Disambung Hingga 20 November

50

KUANTAN – Reman tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kes kematian pelajar berusia tujuh tahun Mohammad Aimin Nurul Amin di sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh dekat sini, disambung sehingga 20 Nov ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman semasa dihubungi berkata perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Temerloh Hayatul Hafifie Hisham pada prosiding hari ini.

Permohonan reman terhadap tiga remaja berusia 13 tahun yang merupakan pelajar tahfiz itu pada 8 Nov lepas dijadualkan tamat hari ini.

Pada 8 November lepas, media melaporkan Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari sehari sebelumnya (7 November) di Klinik Kesihatan Lanchang, kira-kira setengah jam selepas ditemukan dalam keadaan lemah oleh warden pusat tahfiz itu.

Bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh mengesahkan punca kematian mangsa, yang dihantar ke pusat tahfiz itu pada pertengahan Oktober lepas adalah akibat trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan sebelum ini mengesahkan tiga remaja itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai bergaduh dengan mangsa ekoran cemburu dengan perhatian yang diterima mangsa selaku pelajar paling muda di situ.