Kemaraan Muafakat Nasional Tidak Dapat Disekat

SEREMBAN – Tiada hujah atau kritikan akan dapat menahan kemaraan UMNO dan PAS dalam arena politik tanah air melalui gerakan Muafakat Nasional yang dimeterai oleh kedua-dua parti itu pada Sabtu lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama UMNO dan PAS akan terus melangkah maju meskipun sebilangan pihak terutama pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan rasionalnya.

“Kita dapat merasakan bahawa ada rasa ragu-ragu yang sukar dipendam dalam pimpinan PH. Pastinya kerana dijangka kerjasama UMNO dan Pas ini akan menjadi ancaman paling besar kepada PH.

“Kita menghormati semua pandangan mereka. Yang baik akan kami jadikan sandaran dan yang lainnya kami baca begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohamad berkata, selepas Muafakat Nasional berjaya ditandatangani, kerjasama UMNO dan PAS kini bukan lagi tentang sekadar politik Melayu dan Islam sahaja kerana perkara itu adalah ‘a done deal’.

Menurut beliau, kini cabarannya adalah bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu boleh menjadi lonjakan untuk mempelopori gerakan kesepakatan, perpaduan dan keeratan nasional dalam kerangka demokrasi.

Jelas beliau, UMNO dan PAS telah membuktikan kedua-dua parti itu pendukung tegar ideal demokratik serta pelbagai institusinya yang berpaksikan demokrasi selama menjadi pertubuhan politik di Malaysia.

“Kerana itu amat sukar difahami apabila PH melihat kerjasama UMNO dan PAS semata-mata dari sudut ‘menyemarakkan politik perkauman dan agama’,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, langkah seterusnya dalam kerjasama UMNO dan Pas tersebut adalah menjelaskan tawaran Muafakat Nasional kepada rakyat.

Jelas beliau, Muafakat Nasional akan secara berperingkat mengumumkan pelbagai dasar alternatif untuk pertimbangan rakyat yang pasti ingin tahu tentang visi dan hala tujunya buat negara.

“Muafakat Nasional akan bersaing dengan PH menggunakan idea, pemikiran dan kecerdasan. Bukan sentimen kaum dan agama.

“Kepada rakan-rakan dalam PH, pesanan saya ialah bersangka baiklah. Jangan terlalu sangat berprasangka yang bukan-bukan. Imaginasi kalian kadang-kadang keterlaluan,” katanya. – K! ONLINE

Loading...