Kemalangan 4 Buah Kenderaan, 13 Cedera

SIMPANG AMPAT – Sebuah kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan telah mengakibatkan 13 orang cedera di Kilometer 148.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Tambun, Simpang Ampat, Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Memetik portal berita tempatan, kejadian yang berlaku pada jam 8.50 pagi tadi ketika cuaca hujan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Ssang Yong, kereta Honda Civic, van Toyota Commuter dan sebuah treler.

Jurucakap bomba berkata, kebanyakan mangsa adalah penumpang di dalam sebuah van yang membawa 13 orang dengan dua daripada mereka parah.

“Dua mangsa lelaki di dalam van itu cedera parah, manakala sembilan lagi lelaki cedera ringan selain dua perempuan tidak cedera.

“Dua penumpang lelaki yang menaiki MPV turut cedera ringan,” katanya.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan 30 minit selepas kemalangan dan mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan.

Sehingga kini, pihak berkuasa sedang melakukan siasatan berhubung punca kemalangan berlaku. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Loading...