Keluarga Nora Anne Minta Polis Periksa 3 Rumah

SEREMBAN – Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu sehari selepas kehilangan Nora Anne Quoirin, iaitu pada 5 Ogos, keluarganya pernah memaklumkan kepada polis yang mereka mengesyaki anak mereka itu diculik.

Saksi ketiga prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata mereka juga meminta polis memeriksa tiga rumah yang terletak di luar kawasan The Dusun Resort yang dipercayai keluarganya sebagai lokasi keberadaan mangsa.

Resort itu ialah tempat penginapan Nora Anne dan keluarga sebaik tiba di negara ini pada 3 Ogos 2019 untuk percutian selama dua minggu.

“Ahli keluarga Nora Anne memberi maklumat dan menjangkakan anak mereka yang hilang berada di kawasan sekitar. Saya memberi harapan bahawa saya akan penuhi permintaan keluarga berkenaan dengan pencarian di tiga rumah di kawasan sekitar seperti diminta ahli keluarga.

“Saya telah minta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Daerah Nilai untuk membuat pencarian di tiga rumah itu,” katanya semasa memberikan keterangan pada inkues berkenaan yang memasuki hari kedua, hari ini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad mengapa pemeriksaan hanya spesifik kepada tiga rumah, beliau berkata, tindakan itu adalah seperti diminta keluarga.

Menurut saksi itu, usaha mencari remaja istimewa berkenaan tidak terhenti di situ tetapi dilipatgandakan menerusi operasi pencarian membabitkan dua pasukan merangkumi kawasan seluas 4.86 hektar di sekitar kawasan resort, selain sekatan jalan raya.

“Saya dimaklumkan keluarga bahawa remaja hilang itu tak boleh berjalan lebih 20 kaki (enam meter). Saya beranggapan kawasan pencarian 12 ekar adalah memadai dengan maklumat yang saya dapati.

“Selain itu, memandangkan keadaan fizikal dan tahap pemikiran mangsa seperti kanak-kanak berumur 7 tahun, saya ambil inisiatif membuat sekatan jalan raya dengan andaian mangsa mungkin menahan atau menumpang kenderaan atau motosikal keluar dari kawasan,” katanya.

Mahkamah turut diberitahu, operasi mencari Nora Anne dilakukan sebaik sahaja remaja berkenaan dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lepas dengan peringkat awal pencarian membabitkan kawasan sekitar villa penginapan mangsa dan keluarga.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula semalam hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September ini.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Sembilan hari selepas kehilangannya, iaitu pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan. – BERNAMA